Prinsip Desilo 3: Ketaksuban Kepada Pembaraian (Fragmentasi/pembaraian)

Tragedi kebakaran Greenfell Tower antara lain menjadi contoh bagaimana pendekatan yang terbarai gagal membendung masalah yang rumit.

Prinsip Desilo 3: Ketaksuban Kepada Pembaraian (Fragmentasi/pembaraian).

Keupayaan untuk mengasingkan, menganalisis dan mempermudah fenomena merupakan suatu daya fikir manusia yang sah dan amat diperlukan untuk memahami dunia yang kompleks.[1] Ini boleh disimpulkan sebagai cara fikir analitik.

Pembaraian atau fragmentasi hanya menjadi mudarat apabila cara analitik ini diangkat daripada suatu kaedah mengetahui kepada suatu pandangan alam dominan yang melaluinya realiti difahami, disusun dan ditadbir. Apabila hal ini berlaku, daya fikir alternatif untuk mengetahui dan mengintegrasikan realiti dipinggirkan[2], lalu mengurangkan kekayaan pemahaman manusia.

Tiada satu pun daya berfikir manusia yang seharusnya secara mutlak menjadi pentafsir berdaulat terhadap realiti. Hikmah muncul daripada pengintegrasian yang harmoni antara semua cara berfikir manusia yang sah.

Huraian

Pada 14 Jun 2017, kebakaran Grenfell Tower mengorbankan 72 orang [3]. Bangunan kediaman itu telah melalui pengubahsuaian, termasuk pemasangan sistem pelapisan dinding luar. Siasatan rasmi kemudian menemukan kegagalan yang melibatkan pelbagai pihak dalam reka bentuk, pembinaan dan pengawasan keselamatan. Tragedi Grenfell Tower memperlihatkan akibat apabila pembaraian tugas tidak disertai penyepaduan tanggungjawab. Pemilihan bahan, pengurangan kos, reka bentuk dan keselamatan kebakaran dikendalikan melalui pelbagai pihak, tetapi hubungan antara keputusan-keputusan tersebut gagal dinilai dengan memadai. Melalui lensa Desilo, bangunan itu menjadi contoh bagaimana bahagian-bahagian yang diurus secara berasingan boleh menghasilkan keseluruhan yang berbahaya. Kejayaan sesuatu keputusan pada ukuran kos belum tentu menjadi kejayaan pada ukuran keselamatan dan nyawa manusia.

Dalam ulasannya tentang penilaian selepas tragedi Grenfell, Loosemore [4] menjelaskan bahawa fragmentasi industri pembinaan, budaya pemindahan risiko dan kekaburan tanggungjawab merupakan antara faktor kegagalan sistemik. Beliau mengkritik pemikiran reduksionistik yang memecahkan masalah kepada bahagian kecil tanpa melihat keseluruhan sistem. Pengunduran ke dalam silo profesional pula menghalang pembaharuan bersepadu. Ulasan ini menyokong hujah bahawa pembaraian tanpa penyepaduan boleh mengaburkan hubungan antara keputusan pelbagai pihak, sehingga keselamatan bangunan gagal dipertimbangkan secara menyeluruh sepanjang proses perancangan, reka bentuk, pembinaan dan pengoperasian. blogs.cityfutures.unsw.edu.au

Dunia sebenar sangat rumit dan kompleks. Keupayaan membarai sesuatu masalah kepada bahagian-bahagian yang lebih kecil merupakan salah satu kekuatan pemikiran manusia dalam menangani kerumitan tersebut. Apabila kita hendak menguruskan rombongan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang misalnya, kita tidak membuat keputusan tentang pengangkutan secara tiba-tiba. Masalah itu dibarai kepada beberapa faktor seperti masa, kos, keselesaan dan kemudahan logistik. Setiap faktor boleh diperiksa dan dibandingkan secara berasingan sebelum keputusan dibuat. Keutamaan juga boleh berubah mengikut keadaan: dalam satu keadaan kos mungkin lebih penting, dalam keadaan lain masa atau keselesaan menjadi pertimbangan utama. Inilah asas pemikiran analitikal.

Teknik pembaraian ini membolehkan manusia menangani masalah yang semakin kompleks. Namun pembaraian hanya berguna selagi pecahan-pecahan tersebut dapat dikumpulkan kembali untuk melihat keseluruhan persoalan. Masalah bermula apabila bahagian yang telah dipisahkan mula dianggap seolah-olah boleh berdiri sendiri.

Bayangkan AJK yang bertanggungjawab terhadap masa perjalanan berkeras memilih perjalanan yang paling cepat, walaupun pilihannya menyebabkan kos yang terlalu tinggi. Pada masa yang sama, AJK yang menguruskan kos mungkin memilih pengangkutan termurah walaupun mengambil masa yang tidak munasabah. Kedua-duanya mungkin betul berdasarkan ukuran masing-masing, tetapi rombongan secara keseluruhannya boleh gagal kerana komponen masa dan kos tidak lagi dilihat sebagai sebahagian daripada persoalan yang sama.

Di sinilah pembaraian berubah daripada kekuatan menjadi kelemahan. Masalah dunia hari ini semakin kompleks dan saling berkaitan. Oleh itu, semakin tinggi kemampuan kita membarai sesuatu persoalan, semakin penting pula kemampuan untuk menyepadukan kembali bahagian-bahagian tersebut. Tanpa penyepaduan, kita boleh menjadi semakin pintar dalam menyelesaikan bahagian-bahagian kecil tetapi semakin gagal memahami keseluruhannya. Akhirnya terhasillah masyarakat yang menang dari satu segi, tetapi kalah dari segi yang lain.


Rujukan

[1] Keupayaan analitik ini dirumuskan secara sistematik oleh René Descartes melalui kaedah keduanya, iaitu membahagikan setiap kesukaran yang diteliti kepada sebanyak mungkin bahagian yang diperlukan agar dapat difahami dan diselesaikan dengan lebih baik. Lihat René Descartes, Discourse on the Method, Bahagian II, pertama kali diterbitkan pada 1637.

[2] Daya fikir alternatif yang dimaksudkan di sini merangkumi intuisi atau firasat, sentimen dan pengalaman afektif, imaginasi, nilai dan pertimbangan moral, ingatan serta pengalaman, dan—dalam konteks tertentu—kepercayaan terhadap perkara ghaib atau metafizik. Bentuk-bentuk ini tidak semestinya bersifat anti-rasional, tetapi mewakili cara manusia mengetahui, menafsir dan menghubungkan diri dengan realiti yang tidak dapat direduksikan sepenuhnya kepada analisis fragmentasi.

Grenfell Tower Inquiry: Phase 2 Report (2024), Jilid 1, Bab 2, khususnya perenggan 2.74–2.79.

Comments

Popular posts from this blog

Tragedi Bidang Kemanusiaan yang Meniru Bidang Sains

Pendidikan Berteraskan Nilai (VBE): Mengekang Reduksionisme Melalui Prinsip Desilo

When Research Optimises the Wrong Future: Toward an Order-Based Taxonomy of Inquiry