Pendidikan Berteraskan Nilai (VBE): Mengekang Reduksionisme Melalui Prinsip Desilo

Kelompongan dalam pelaksanaan pendidikan berasaskan hasil atau Outcome-Based Education (OBE) semakin disedari dengan munculnya gagasan baharu dalam landskap pendidikan tinggi Malaysia, antaranya langkah Malaysian Qualifications Agency (MQA) memperkenalkan Pendidikan Berteraskan Nilai atau Values-Based Education (VBE). Usaha ini merupakan perkembangan positif dalam menangani kelompongan OBE, khususnya dalam pembentukan nilai, etika dan pertimbangan moral. Namun, artikel ini berhujah bahawa kelompongan tersebut bukan sekadar ketiadaan satu komponen bernama “nilai”, tetapi simptom kepada masalah epistemologi yang lebih mendasar, iaitu paradigma reduksionisme yang memecahkan pembangunan insan kepada domain, hasil, kompetensi dan indikator yang terpisah. Dengan menggunakan Prinsip Desilo sebagai kerangka analisis, artikel ini meneliti VBE sebagai suatu usaha penyahsiloisasian, di samping mengenal pasti risiko nilai kembali direduksi apabila dioperasikan melalui pemetaan, matriks, rubrik dan pengukuran. Tanpa penelitian semula terhadap asas epistemologi tersebut, VBE berisiko menjadi ibarat menampal lubang pada dinding dengan simen baharu sedangkan struktur asas dinding itu sendiri masih bermasalah.

Pengenalan

Konsep Outcome-Based Education (OBE) yang menjadi antara teras penting pendidikan tinggi negara sejak kebelakangan ini mula menampakkan kelompongan yang semakin jelas, khususnya dalam menghubungkan pencapaian hasil pembelajaran dengan pembentukan nilai dan keutuhan insan. Bagi menangani kelompongan ini, Malaysia sedang bergerak untuk memperkenalkan Values-Based Education (VBE), atau Pendidikan Berteraskan Nilai, dengan lebih tersusun dalam pendidikan tinggi melalui Malaysian Qualifications Agency (MQA). Draf Guidelines on Values-Based Education disediakan sebagai panduan kepada institusi pendidikan tinggi untuk mengintegrasikan nilai dalam reka bentuk kurikulum, penyampaian dan penilaian. Menariknya, MQA menegaskan bahawa garis panduan ini tidak bertujuan menjadi preskriptif, sebaliknya memberikan ruang kepada institusi untuk melaksanakan VBE mengikut konteks masing-masing (MQA, 2025). Namun, jika dilihat daripada sejarah perkembangan pendidikan moden dan kecenderungannya terhadap fragmentasi, pengoperasian dan pengukuran, terdapat risiko bahawa VBE tidak menyelesaikan masalah pada peringkat paradigma, malah boleh diserap kembali ke dalam kerangka reduksionistik yang sama. Dalam artikel ini, saya cuba membedah persoalan tersebut dalam konteks garis panduan MQA dan budaya pendidikan tinggi Malaysia dengan menggunakan Prinsip Desilo sebagai lensa analisis, bagi meneliti bukan sahaja potensi VBE sebagai usaha mengembalikan nilai kepada pendidikan, tetapi juga risiko nilai itu sendiri mengalami reduksi apabila diterjemahkan ke dalam pemetaan, matriks, indikator dan pengukuran.

Apakah VBE?

VBE bukan sekadar mengajar pelajar tentang nilai seperti integriti, empati, keadilan dan tanggungjawab. Gagasan yang lebih luas ialah supaya nilai dihidupkan melalui pengalaman pendidikan, hubungan antara manusia, budaya institusi, kurikulum dan amalan profesional. Dalam erti kata ini, pendidikan tidak sepatutnya hanya menghasilkan graduan yang tahu dan cekap melakukan sesuatu, tetapi manusia yang mempunyai pertimbangan tentang mengapa, untuk apa dan untuk siapa pengetahuan serta kemahirannya digunakan.

Idea ini sebenarnya bukan baharu. Dalam tradisi pendidikan terdahulu, termasuk tradisi Yunani, Konfusian dan Islam, pendidikan sukar dipisahkan daripada pembentukan manusia dan akhlak. Dalam perkembangan pendidikan moden pula, usaha mengembalikan dimensi manusiawi ini muncul dalam pelbagai bentuk seperti pendidikan moral, pendidikan karakter dan pendidikan nilai. Pada 1990-an, Neil Hawkes mengembangkan pendekatan Values-based Education dengan penekanan bahawa nilai bukan sekadar perlu diajar tetapi perlu dialami dan dihidupkan dalam keseluruhan budaya pendidikan. Pada peringkat antarabangsa, Laporan Delors UNESCO Learning: The Treasure Within (1996) turut memperkukuh gagasan pendidikan menyeluruh melalui empat tonggak: learning to know, learning to do, learning to live together dan learning to be.

Dalam konteks Malaysia, kemunculan VBE sangat menarik kerana draf MQA sendiri mengenal pasti satu kelemahan dalam pendidikan sedia ada. Dokumen tersebut menyatakan bahawa penekanan yang besar telah diberikan kepada Outcome-Based Education (OBE), sedangkan nilai tidak mendapat perhatian yang setara. Akibatnya, timbul persoalan sama ada graduan yang memiliki pengetahuan dan kompetensi turut memiliki nilai etika dan pertimbangan moral yang diperlukan.

VBE dan Tradisi Pendidikan Islam

Walaupun istilah Values-Based Education adalah relatif baharu, gagasan bahawa pendidikan mesti menghubungkan ilmu, pembentukan diri dan amalan telah lama menjadi sebahagian daripada tradisi keilmuan Islam. Dalam pemikiran al-Ghazali, ilmu tidak mencapai tujuan sebenarnya sekiranya ia berhenti sebagai pengetahuan intelektual tanpa membentuk amal dan akhlak. Dalam Ihya’ ‘Ulum al-Din, khususnya Kitab al-‘Ilm, al-Ghazali meletakkan ilmu dalam hubungan dengan amal, penyucian diri dan tujuan akhir kehidupan manusia. Dengan itu, persoalan pendidikan bukan sekadar apakah yang diketahui, tetapi bagaimana pengetahuan tersebut mengubah manusia dan tindakannya (al-Ghazali, n.d.).

Gagasan ini mendapat ungkapan kontemporari yang penting melalui pemikiran Syed Muhammad Naquib al-Attas, khususnya konsep ta’dib. Bagi al-Attas, pendidikan tidak memadai sebagai pemindahan pengetahuan atau pembangunan kemahiran. Pendidikan berkait dengan pengenalan dan pengiktirafan manusia terhadap kedudukan sesuatu secara tepat dalam susunan kewujudan dan ilmu, yang akhirnya membawa kepada pengenalan kedudukan Tuhan dalam susunan tersebut. Atas dasar ini, beliau mengangkat adab sebagai konsep teras pendidikan dan mengaitkan krisis umat dengan apa yang disebutnya sebagai “loss of adab” (al-Attas, 1980).

Dari sudut ini, kemunculan VBE dalam pendidikan moden boleh dibaca dengan cara yang agak menarik. Ia bukanlah penemuan bahawa pendidikan memerlukan nilai. Sebaliknya, ia mungkin merupakan penemuan semula sesuatu yang pernah dianggap sebahagian daripada sifat pendidikan itu sendiri. Apabila pendidikan moden memisahkan pengetahuan, kompetensi, nilai dan amalan kepada komponen-komponen yang berasingan, nilai akhirnya perlu dibawa masuk semula sebagai suatu agenda khusus yang dinamakan VBE.

Di sinilah Prinsip Desilo memberikan satu bacaan yang berbeza. Persoalannya bukan hanya bagaimana kita hendak menambahkan nilai kepada sistem pendidikan, tetapi mengapa nilai boleh terpisah daripada ilmu dan amalan sehingga kita perlu menambahkannya kembali. Dari tradisi al-Ghazali hingga gagasan adab al-Attas, ilmu yang tidak membentuk manusia dan amal menunjukkan bahawa hubungan yang sepatutnya wujud antara mengetahui, menjadi dan bertindak telah terputus. VBE berpotensi membantu menyambungkan semula hubungan tersebut. Namun, jika nilai itu kemudiannya dipisahkan sekali lagi kepada indikator, rubrik dan skor, kita mungkin mengulangi proses fragmentasi yang sama dalam bentuk yang baharu.

Melihat VBE Melalui Prinsip Desilo

Saya melihat VBE sebagai perkembangan yang positif. Namun dalam artikel ini, saya menggunakan Prinsip Desilo sebagai kerangka analisis untuk melihat bagaimana VBE boleh mengisi satu kekurangan penting dalam pendidikan moden, dan pada masa yang sama memastikan penyelesaiannya tidak menghasilkan masalah baharu.

Prinsip Desilo ialah suatu kerangka epistemologi yang dibangunkan untuk memahami keretakan dan fragmentasi pemikiran moden, khususnya apabila sesuatu realiti yang kompleks dipecahkan melalui reduksionisme, kemudian pecahan tersebut disiloisasikan sehingga hubungannya dengan keseluruhan, tujuan dan makna asal semakin hilang (Jaafar, 2026). Prinsip Desilo tidak menolak pengkhususan, pengkategorian atau pengukuran. Kesemuanya diperlukan untuk memahami dan mengurus realiti yang kompleks. Masalah bermula apabila pecahan dianggap sebagai keseluruhan, ukuran dianggap sebagai realiti, atau representasi dianggap sebagai fenomena yang diwakilinya (Jaafar, 2026).

Dalam konteks pendidikan, keadaan ini dapat dilihat apabila pembangunan manusia dipecahkan kepada domain, hasil pembelajaran, kompetensi dan indikator yang kemudiannya dipetakan dan diukur. Pemecahan tersebut mungkin berguna untuk tujuan pedagogi dan pentadbiran, tetapi ia menjadi reduksionistik apabila kita terlupa bahawa kesemua domain tersebut wujud secara bersepadu dalam seorang insan. Dari perspektif Desilo, pendidikan seharusnya membangunkan kecerdasan insan secara menyeluruh dengan menghubungkan daya kognitif, intuitif, spiritual, emosi dan heuristik, bukannya memperlakukan setiap satunya sebagai komponen yang terpisah (Jaafar, 2026).

Atas dasar ini, kemunculan VBE boleh dibaca sebagai petunjuk kepada mata rantai yang hilang (the missing link) dalam model pendidikan moden yang reduksionistik. Menariknya, draf MQA sendiri mengakui bahawa penekanan yang besar telah diberikan kepada OBE sedangkan aspek nilai tidak mendapat perhatian yang setara, sehingga timbul persoalan sama ada graduan yang memiliki pengetahuan dan kompetensi turut memiliki nilai etika dan pertimbangan moral yang diperlukan. VBE, dalam pengertian ini, berpotensi menjadi suatu proses penyahsiloisasian dengan menghubungkan semula ilmu dan kompetensi dengan karakter, pertimbangan moral dan tujuan manusia.

Namun Prinsip Desilo juga memberi satu peringatan penting. Usaha mengembalikan sesuatu yang telah hilang tidak semestinya berjaya sekiranya perkara tersebut dimasukkan kembali melalui mekanisme reduksionistik yang sama. Di sinilah VBE berhadapan dengan paradoksnya. Nilai diperkenalkan untuk melengkapkan pendidikan yang terlalu menekankan hasil dan kompetensi, tetapi apabila nilai itu sendiri perlu didefinisikan, dipetakan kepada hasil pembelajaran, diterjemahkan kepada indikator, dinilai melalui rubrik dan akhirnya dilaporkan sebagai pencapaian, nilai berisiko mengalami proses reduksi yang sama.

Risiko ini bukan sekadar andaian. Draf garis panduan mencadangkan pembangunan kerangka untuk mengoperasikan VBE, mekanisme pemantauan dan pelaporan, serta alat penilaian seperti portfolio pembangunan karakter, metrik penglibatan komuniti dan rubrik penilaian rakan sebaya untuk mengukur penghayatan nilai. Pada bahagian penilaian pula, VBE secara jelas dikaitkan dengan constructive alignment: nilai seperti integriti, empati dan tanggungjawab sosial perlu diselaraskan dengan hasil pembelajaran, penyampaian dan penilaian supaya dapat dinilai secara eksplisit.

Dari perspektif Desilo, persoalannya bukan sama ada kita perlu menilai VBE, tetapi apakah sebenarnya yang sedang kita ukur? Rubrik empati bukanlah empati. Portfolio integriti bukanlah integriti. Skor tingkah laku beretika bukanlah etika itu sendiri. Kesemuanya ialah

Tetapi Apabila Nilai Masuk ke Dalam Matriks

Di sinilah saya melihat satu risiko penting. Walaupun garis panduan tersebut tidak bersifat preskriptif, pelaksanaan VBE masih perlu memasuki sistem pentadbiran pendidikan yang sedia ada. Draf mencadangkan agar institusi membangunkan kerangka nilai, mengoperasikan VBE, menyediakan mekanisme pemantauan dan pelaporan serta membangunkan instrumen seperti portfolio pembangunan karakter, metrik penglibatan komuniti dan rubrik penilaian rakan sebaya. Malah disebut usaha untuk mengukur “values internalisation”, atau penghayatan nilai.

Di sinilah persoalan Desilo menjadi penting: bolehkah nilai yang hidup dalam diri manusia diterjemahkan menjadi ukuran tanpa mengubah sifat fenomena tersebut?

Ambil contoh empati. Empati melibatkan hubungan, pengalaman, kesedaran, niat dan respons terhadap manusia lain. Apabila ia perlu dinilai, empati mungkin perlu didefinisikan, diterjemahkan kepada tingkah laku yang boleh diperhatikan, dijadikan indikator, dimasukkan ke dalam rubrik dan akhirnya diberikan skor. Maka berlaku satu perjalanan: nilai → definisi → indikator → tingkah laku → rubrik → skor → data → matriks.

Setiap langkah mempunyai kegunaan. Tetapi skor empati bukanlah empati. Rubrik integriti bukanlah integriti. Portfolio mengenai tanggungjawab bukanlah tanggungjawab itu sendiri. Kesemuanya ialah representasi yang mungkin memberikan bukti mengenai sesuatu nilai, tetapi representasi tidak boleh disamakan secara ontologi dengan fenomena yang diwakilinya.

Risiko ini semakin jelas apabila draf menghubungkan VBE dengan constructive alignment, seperti yang dilakukan dalam OBE. Nilai seperti integriti, empati dan tanggungjawab sosial dicadangkan untuk diselaraskan dengan hasil pembelajaran, penyampaian dan penilaian supaya dapat dinilai secara eksplisit. Draf turut mencadangkan kemungkinan memasukkan pelaksanaan VBE ke dalam KPI dan kriteria kenaikan pangkat pendidik.

Di sinilah VBE berisiko mengalami reduksionisme dan siloisasi semula. Apabila pensyarah dan institusi perlu membuktikan bahawa VBE telah dilaksanakan, perhatian mudah beralih daripada menghidupkan nilai kepada menghasilkan bukti tentang nilai: pemetaan, rubrik, portfolio, borang, skor dan laporan. Akhirnya institusi mungkin mempunyai dokumentasi VBE yang sangat lengkap tanpa kita benar-benar mengetahui sejauh mana manusia di dalamnya menjadi lebih berintegriti, berempati atau berhikmah.

Namun, ini tidak bermakna pengukuran perlu ditolak. Prinsip Desilo tidak menolak pengukuran, tetapi meletakkannya pada kedudukan yang sewajarnya. Kita boleh mengukur indikator yang berkaitan dengan nilai, tetapi perlu berhati-hati daripada mendakwa bahawa kita telah mengukur nilai itu sendiri.

VBE sebagai Peluang Penyahsiloisasian

Saya tidak melihat draf MQA ini sebagai dokumen yang secara asasnya reduksionistik. Sebaliknya, ia mempunyai banyak unsur yang selari dengan pendidikan holistik. Ia menggalakkan pengalaman sebenar, refleksi, penglibatan komuniti dan kerjasama rentas disiplin; malah dokumen secara eksplisit menyebut keperluan memecahkan silo antara fakulti. Yang saya lihat ialah kerentanan struktur terhadap reduksionisme apabila aspirasi yang holistik ini memasuki sistem pemetaan, pengukuran, KPI dan jaminan kualiti.

VBE sebenarnya memberi Malaysia peluang yang sangat baik untuk memikirkan semula pendidikan. Tetapi kita jangan sekadar menambah satu lagi kotak bernama “Nilai” ke dalam matriks pendidikan yang sedia ada lalu menganggap manusia telah kembali menjadi sempurna. Kesepaduan insan tidak terhasil dengan menambah satu lagi pecahan.

Cabaran sebenar ialah mengembalikan hubungan antara ilmu, kemahiran, akhlak, pertimbangan, tujuan dan makna. Jika VBE berjaya melakukan ini, ia boleh menjadi suatu proses penyahsiloisasian yang penting. Tetapi jika nilai akhirnya didefinisi, dipetakan dan diukur sehingga representasinya menggantikan realiti yang diwakilinya, kita mungkin kehilangan sekali lagi perkara yang sedang cuba kita kembalikan.

Rujukan

Al-Attas, S. M. N. (1980). The concept of education in Islam: A framework for an Islamic philosophy of education. Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM).

Al-Ghazali, A. H. (n.d.). Ihya’ ‘ulum al-din, khususnya Kitab al-‘Ilm.

Delors, J., et al. (1996). Learning: The Treasure Within: Report to UNESCO of the International Commission on Education for the Twenty-first Century. Paris: UNESCO.

Hawkes, N. (n.d.). A history of VbE. Values-based Education. https://www.neilhawkes.org/copy-of-a-message-for-you?

Hawkes, N. (n.d.). What is Values-based Education? Values-based Education. https://www.neilhawkes.org/what-is-values-based-education?

Al-Attas, S. M. N. (1980). The concept of education in Islam: A framework for an Islamic philosophy of education. Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM).

Delors, J., et al. (1996). Learning: The treasure within: Report to UNESCO of the International Commission on Education for the Twenty-first Century. Paris: UNESCO.

Sireci, S. G. (2021). Valuing educational measurement. Educational Measurement: Issues and Practice, 40(1), 7–16.

Malaysian Qualifications Agency. (2025). Draft guidelines on Values-Based Education (VBE) [Draf garis panduan]. Malaysian Qualifications Agency.

Jaafar, M. F. Z. (2026). The Desilo Principles: An Epistemological Framework for Defragmenting the Ruptured Modern Mind. Zenodo. https://zenodo.org/records/21426662

Malaysian Qualifications Agency. (2026). Guidelines on Values-Based Education (VBE). Cyberjaya: Malaysian Qualifications Agency.

Malaysian Qualifications Agency. (2026). Surat Pekeliling MQA Bil. 2/2026: Penggunaan Garis Panduan Pendidikan Berteraskan Nilai (Guidelines on Values-Based Education, GVBE).

 


Comments

Popular posts from this blog

Tragedi Bidang Kemanusiaan yang Meniru Bidang Sains

Menilai Semula Taksonomi Bloom melalui konsep Ta'dib Syed Naquib dan Psikologi Individu Alfred Adler.

When Research Optimises the Wrong Future: Toward an Order-Based Taxonomy of Inquiry