AI berpotensi membantu manusia kembali menjadi manusia.



Kita takut AI akan menjadi seperti manusia.

Tapi mungkin kita terlupa satu perkara:

Manusia sudah lebih 200 tahun dipaksa menjadi seperti mesin.

Sejak Revolusi Industri, manusia dipecah-pecahkan mengikut fungsi supaya lebih produktif dan efisien.

Dulu seorang tukang tahu membuat sebuah kerusi—daripada memilih kayu, memotong, menyambung, mengukir sehingga siap.

Kemudian datang kilang.

Kerja itu dipecahkan. Seorang pekerja mungkin sepanjang hari cuma memasang satu skru pada kaki kerusi.

Dia menjadi sangat cekap memasang skru.

Tapi dia sudah tidak tahu membuat kerusi.

Begitulah manusia moden.

Kita menjadi pakar kepada cebisan-cebisan kecil kehidupan. Kita mengejar KPI, mengisi borang, menyediakan laporan, memasukkan data, menghadiri mesyuarat, mengejar produktiviti.

Kita panggil manusia sebagai "human resource".

Sumber.

Sama seperti sumber kewangan, sumber bahan mentah dan sumber tenaga.

Kemudian datang AI.

Kita takut AI akan mengambil kerja manusia.

Saya pula tertanya-tanya:

Bagaimana kalau AI mengambil kerja mesin yang selama ini kita paksa manusia lakukan?

Biarkan AI menyusun data. Biarkan ia menyediakan laporan rutin. Biarkan ia membuat kerja pentadbiran yang berulang-ulang.

Dan pulangkan masa itu kepada manusia.

Untuk membaca.

Untuk berkebun.

Untuk bermain dengan anak.

Untuk membuat seni.

Untuk menulis puisi.

Untuk berbual dengan jiran.

Untuk berfikir tentang kehidupan.

Untuk menjadi warga yang mengambil tahu tentang masyarakatnya.

Pendek kata, untuk menjadi manusia.

Tetapi ada satu syarat besar.

Kalau AI membolehkan kerja lapan jam disiapkan dalam dua jam, jangan pula kita berkata:

"Bagus. Sekarang buat empat kali lebih banyak."

Kalau begitu, AI tidak membebaskan manusia.

Ia cuma mempercepatkan perhambaan.

Jadi persoalan terpenting tentang AI mungkin bukan:

"Bolehkah AI menggantikan manusia?"

Tetapi:

"Bolehkah kita menggunakan AI untuk membebaskan manusia daripada kehidupan seperti mesin?"

Ironinya mungkin begini:

Mesin Revolusi Industri telah menjadikan manusia seperti mesin.

Mungkin mesin yang bernama AI akhirnya boleh membantu kita menjadi manusia semula.

Comments

Popular posts from this blog

Tragedi Bidang Kemanusiaan yang Meniru Bidang Sains

When Research Optimises the Wrong Future: Toward an Order-Based Taxonomy of Inquiry

Menilai Semula Taksonomi Bloom melalui konsep Ta'dib Syed Naquib dan Psikologi Individu Alfred Adler.