Kezaliman Nenek Moyang Punca Ketidakadilan Pasaran Bebas Moden


Bayangkan di sebuah kampung terdapat seorang peniaga cempedak yang menguasai pasaran kerana mampu menawarkan cempedak pada harga yang jauh lebih murah daripada pesaingnya. Dia mampu berbuat demikian kerana memiliki ladang seluas 100 ekar. Pengeluaran dalam skala yang besar membolehkannya menikmati kelebihan ekonomi skala, menurunkan kos dan seterusnya menjual dengan harga yang lebih murah. Penduduk kampung tentunya mendapat manfaat kerana dapat membeli cempedak pada harga yang rendah. Namun pada masa yang sama, penanam-penanam cempedak kecil dalam kalangan orang kampung tidak mampu bersaing dengan harga tersebut. Sedikit demi sedikit mereka kehilangan pelanggan dan akhirnya terpaksa gulung tikar.

Apabila cempedaknya memasuki pasaran, tiada apa yang salah dengan harga murah yang ditawarkannya. Malah penduduk kampung mendapat manfaat kerana dapat membeli cempedak yang lebih murah. Dari sudut mekanisme pasaran, keadaan ini rasional dan adil.

Namun ada satu persoalan lain yang boleh kita tanyakan: dari manakah dia memperoleh tanah seluas 100 ekar itu?

Bayangkan dua kemungkinan. Pertama, dia memang mempunyai modal yang besar daripada perniagaan lain lalu membeli tanah tersebut secara sah. Kedua, dia mewarisinya daripada nenek moyangnya. Kedua-duanya tidak dengan sendirinya menimbulkan masalah.

Tetapi bayangkan andaian senario kedua. Tanah 100 ekar itu diwarisinya daripada nenek moyang yang dahulu merampas tanah penduduk kampung dengan cara yang zalim.

Sekarang timbul persoalan: adilkah harga murah yang ditawarkan oleh peniaga cempedak itu?

Menurut mekanisme pasaran, ya. Harga itu tetap kompetitif dan penduduk tetap mendapat manfaat daripada cempedak yang murah. Pasaran tidak semestinya mempersoalkan dari mana modal seseorang diperoleh sebelum menentukan nilai pertukaran barangannya.

Namun kita masih dapat mengenal pasti suatu ketidakadilan. Ketidakadilan itu bukan terletak pada harga cempedak atau transaksi jual beli yang sedang berlaku, tetapi pada sejarah yang telah memberikan peniaga tersebut kelebihan untuk menghasilkan cempedak pada harga sedemikian.

Untuk memudahkan perbincangan, kita namakan fenomena ini “kezaliman nenek moyang”: suatu keadaan apabila kezaliman yang berlaku pada masa lalu telah berakhir, tetapi kelebihan ekonomi yang dihasilkannya terus diwarisi dan beroperasi secara sah dalam pasaran pada masa sekarang.

Di sinilah muncul suatu persoalan yang penting. Pasaran boleh menilai harga sesuatu yang dipertukarkan, tetapi tidak semestinya menilai sejarah moral bagaimana kelebihan sesuatu yang dipertukarkan itu diperoleh. Seseorang yang memperoleh modal melalui ketidakadilan pada masa lalu boleh kemudiannya melakukan transaksi yang sepenuhnya sah pada masa sekarang.

Dengan demikian, transaksi yang adil tidak dengan sendirinya membuktikan bahawa struktur pemilikan yang mendahuluinya juga adil. Ketidakadilan yang berlaku sebelum sesuatu sumber memasuki pasaran boleh diwarisi oleh sistem pertukaran, kemudian berkembang bersama pengumpulan modal, walaupun transaksi-transaksi selepas itu kelihatan sah dan rasional.

Untuk memahami bagaimana kezaliman nenek moyang boleh bertukar menjadi kelebihan dalam pasaran bebas, kita perlu memahami salah satu sifat persaingan pasaran iaitu kecekapan pengeluaran. Jika dua pengeluar menawarkan barangan yang hampir sama mutunya, tetapi salah seorang mempunyai kecekapan pengeluaran dan mampu mengeluarkannya pada kos yang jauh lebih rendah, pengeluar tersebut mempunyai kelebihan persaingan yang besar.

Namun kecekapan pengeluaran selalunya memerlukan pelaburan. Pertama ialah pelaburan dalam mendapat akses kepada sumber bahan mentah yang murah dan banyak. Keduanya pelaburan untuk teknologi yang lebih cekap dalam penghasilan produk.  Ketiga ialah pelaburan untuk memperluaskan pasaran — pengangkutan, pelabuhan, gudang, rangkaian perdagangan, pemasaran dan saluran pengedaran. 

Pihak yang mempunyai modal yang besar mempunyai kemampuan yang lebih besar untuk melakukan ketiga-tiga pelaburan ini. Pelaburan tersebut boleh meningkatkan produktiviti, menurunkan kos dan memperluaskan pasaran. Keuntungan yang diperoleh kemudiannya boleh dilaburkan semula untuk meningkatkan lagi kecekapan. Dengan itu boleh terbentuk satu kitaran:

modal → pelaburan → kecekapan → keuntungan → modal yang lebih besar → pelaburan yang lebih besar.

Pada asasnya, kitaran ini tidak semestinya zalim. Persoalannya ialah: dari manakah modal yang memulakan kitaran tersebut diperoleh? Apakah pasaran itu adil sekiranya pelaburan kecekapan ini berasaskan kezaliman nenek moyang?

Di sinilah sejarah menjadi penting. Kebangkitan ekonomi Eropah tidak berlaku semata-mata melalui perdagangan bebas antara pihak yang mempunyai kedudukan yang setara. Ia juga berlaku dalam dunia yang menyaksikan penaklukan wilayah, empayar kolonial, perdagangan hamba, penguasaan bahan mentah dan pembentukan pasaran melalui pencerobohan, penjajahan dan ketenteraan. Kekayaan dan kelebihan yang terhasil daripada proses-proses tersebut kemudiannya turut berinteraksi dengan perkembangan teknologi, institusi, perdagangan dan perindustrian di Eropah.

India memberikan satu contoh yang penting. Sebelum dominasi British, India sendiri merupakan salah satu pusat besar pengeluaran dan perdagangan tekstil dunia. Namun perkembangan teknologi tekstil Britain dan kekuasaan imperial kemudiannya mengubah hubungan tersebut. Melalui peperangan dan penjajahan, Britain bukan sahaja memperoleh akses kepada sumber dan perdagangan India, malah India akhirnya menjadi pasaran yang sangat besar bagi barangan pembuatan British.

Satu lagi contoh dapat dilihat dalam sejarah perdagangan rempah di Asia Tenggara, khususnya di Kepulauan Maluku. Pada abad ke-17, Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) berusaha menguasai perdagangan pala dan bunga pala dengan mengawal kawasan pengeluaran serta menghadkan pihak yang dibenarkan membeli dan menjualnya. Di Kepulauan Banda, usaha membentuk monopoli ini disertai kekerasan yang dahsyat pada 1621 di bawah Jan Pieterszoon Coen, termasuk pembunuhan, pengusiran dan perhambaan penduduk, selepas itu pengeluaran pala disusun semula di bawah sistem ladang yang dikawal Belanda. Dengan menguasai bukan sahaja perdagangan tetapi juga sumber pengeluaran rempah yang bernilai tinggi, VOC dapat memperoleh keuntungan besar daripada jaringan perdagangan antarabangsa. Contoh ini menunjukkan bagaimana kelebihan ekonomi Eropah dalam perdagangan global tidak sentiasa bermula daripada persaingan pasaran yang bebas, tetapi dalam sesetengah keadaan dibina terlebih dahulu melalui penguasaan sumber secara ketenteraan dan monopoli kolonial, sebelum kekayaan yang terkumpul itu memasuki kegiatan perdagangan dan pelaburan berikutnya.

Kelebihan yang pada suatu peringkat sejarah diperoleh melalui kuasa politik, ketenteraan atau perampasan melalui penjajahan boleh diwariskan kepada generasi berikutnya dalam bentuk modal, teknologi, infrastruktur, institusi dan kapasiti pengeluaran. Apabila generasi kemudian memasuki pasaran, mereka tidak lagi kelihatan sebagai penjajah atau perampas. Mereka muncul sebagai pengeluar yang lebih cekap.

Pasaran menilai bahawa produk mereka lebih murah, pengeluarannya lebih cekap dan rangkaian pengedarannya lebih luas. Tetapi mekanisme harga tidak dengan sendirinya bertanya bagaimana kelebihan produktif itu terbentuk beberapa generasi sebelumnya.

Inilah paradoks kezaliman nenek moyang: suatu ketidakadilan sejarah boleh berubah bentuk menjadi kelebihan ekonomi yang sah. Setelah transformasi itu berlaku, pasaran bebas boleh terus mengganjari kelebihan tersebut tanpa perlu mengulangi kezaliman asal yang melahirkannya.Kezaliman nenek moyang bukanlah pewarisan kesalahan moral nenek moyang kepada keturunannya, tetapi pewarisan kelebihan material yang terhasil daripada ketidakadilan terdahulu.

Dengan demikian, persoalannya bukanlah bahawa pasaran bebas itu sendiri semestinya zalim. Persoalannya ialah bahawa pasaran bebas tidak semestinya bermula daripada garis permulaan yang bebas daripada sejarah yang zalim.

Namun pada hari ini, kita tidak mungkin mengundurkan masa. Apa yang telah berlaku tidak boleh dipadamkan daripada sejarah. Kita tidak boleh kembali ke titik permulaan lalu mengagihkan semula segala sumber seolah-olah ketidakadilan itu tidak pernah berlaku.

Dunia hari ini menawarkan kemungkinan yang tidak pernah wujud pada skala seperti sebelumnya. Akses kepada ilmu dan teknologi semakin terbuka dan merentas sempadan. Dalam keadaan tertentu, akses kepada modal, jaringan dan pasaran global juga semakin luas. Mereka yang dahulunya berada di pinggiran kini mempunyai kemungkinan untuk memperoleh ilmu, membangunkan teknologi, menghasilkan produk dan memasuki pasaran yang sebelumnya sukar dicapai.

Mungkinkah perkembangan ini akhirnya membolehkan kelebihan yang diwarisi daripada kezaliman nenek moyang dikurangkan, disaingi atau bahkan dibalikkan? Atau mungkinkah sistem yang sama sebenarnya terus menghasilkan bentuk ketidakseimbangan yang baharu?

Fikir Lestari

Oktober 2026



Comments

Popular posts from this blog

Tragedi Bidang Kemanusiaan yang Meniru Bidang Sains

Pendidikan Berteraskan Nilai (VBE): Mengekang Reduksionisme Melalui Prinsip Desilo

When Research Optimises the Wrong Future: Toward an Order-Based Taxonomy of Inquiry