Keperluan Pendekatan Sistemik Dalam Menjayakan Agenda Kampus Lestari

Gambar hiasan. (Sumber:archdaily.com)

Dalam usaha menghijaukan atau melestarikan pembangunan kampus, hampir semua universiti mempunyai inisiatif dan strategi pembangunan hijau masing2. Banyak program yang diusahakan dan inisiatif di ambil dalam mencapai objektif ini. Namun dari segi keberkesanan dan kemapanan inisiatif ini, usaha2 ini belum mencapai tahap yang diingini. 

Artikel ini menekankan tentang keperluan sistemik yang boleh membantu ataupun sekiranya tak diendahkan, akan membantutkan inisiatif kampus hijau atau lestari. Antara perkara yang sering menjadi masalah adalah antaranya ketidakseimbangan penekanan aspek kelestarian kampus dan inisiatif kelestarian yang tidak berkesinambungan mahupun berkesan. Seterusnya artikel ini akan menekankan kepentingan pendekatan sistemik dalam mengatasi ke dua dua masalah ini.

1.       Usaha yang tidak seimbang di antara kriteria kelestarian.

Usaha melestarikan kampus merangkumi bidang yang sangat luas, dari kesedaran pengguna, guna tenaga, pengurusan sisa, pengurusan lanskap, pemeliharan ekologi, kesejahteraan pengguna, pengangkutan, keselamatan sehinggalah kepada aspek pengajaran, bidang penyelidikan dan kesarjanaan. Seandainya kita tidak memahami skop yang menyeluruh ini , kemungkinan akan ada universiti yang terlalu menekankan suatu aspek namun mengenepikan aspek yang lain. Tentulah difahami bahawa usaha2 ini tidak boleh dijalankan semuanya serentak, tetapi dari segi keseimbangan perlu ada keprihatinan dan kepintaran agar tidak terlihat sebagai kepincangan. Sebagai contoh adalah sangat tidak munasabah untuk melaksanakan ubahsuai sebuah rumah agar rumah kelihatan lebih cantik dengan menghabiskan semua belanjawan untuk mencantikkan tandas dan bilik air sahaja ataupun dengan hanya menukar pagar mahal.

Sebagai contoh lebih spesifik, mungkin ada universiti yang hanya fokus pada pengurangan kegunaan elektrik dengan menggunakan panel suria, (sedangkan menjana tenaga dari sumber pulih baharu (renewable energy) hanya sebahagian kecil dari maksud kelestarian), tetapi pada masa yang sama, penggunaan kenderaan persendirian sangat tinggi. Kemungkinan ada pula universiti yang  fokus kepada penyelidikan bidang hijau tetapi masih tiada polisi pengharaman plastik sekali guna, yang sangat jelas di mata masyarakat sebagai simbol kelestariaan sesuatu organisasi.

Ketidakseimbangan ini perlu diatasi untuk sebuah organisasi yang menjadi nadi ilmiah sebuah negara. Selain daripada penggunaan sumber yang tidak cekap, ianya menggambarkan ketidakupayaan sebuah universiti dalam memperjuangkan isu2 besar negara secara harmoni.

Untuk mencapai keseimbangan ini, pendekatan harus bermula dari ‘the big picture’. Suatu pandangan ”perspektif burung” perlu digarap sebelum sesuatu organisasi terjun dan melaksanakan program2 kelestarian. Dengan adanya perspektif ini, setiap inisiatif boleh dinilai kepentingan dan kesesuaiannya.

2.       Inisiatif yang tidak sesuai, tidak berkesan atau tidak berkesinambungan

Masalah yang kedua, terdapat banyak program dan inisiatif hijau yang dilaksanakan  tidak berkesan atau berjaya mencapai objektif yang dimaksudkan. Ada pula program atau projek yang bersifat gajah putih, atau hangat2 tahi ayam. Contohnya penyediaan tempat pengumpulan kitar semula. Andainya sesebuah kampus yang besar hanya ada dua atau tiga tempat sampah kitar semula, kita boleh bayangkan nilai keberkesanannya. Jika dikira berapa peratus sampah kampus dikitar boleh menjadi persoalan, ataupun tiada maklumat jelas. Mungkin pula ada kampus yang berusaha menaiktaraf jaringan laluan basikal, tetapi kadar penggunaan basikal tidak diambilkira. Ada pula yang mungkin melaksanakan kempen jimat tenaga, tetapi tiada pengukuran penjimatan yang dicapai, dan tiada maklumat samada tenaga telah dijimatkan ataupun ‘business as usual’.

Terdapat banyak sebab mengapa sesuatu program atau inisiatif hijau itu berkesan atau tidak. Namun ingin diutarakan disini, ketiadaan sokongan dari berbagai pihak di dalam sistem organisasi (Sokongan sistemik)  adalah kegagalan pertama untuk sesuatu inisiatif hijau.

Bayangkan contoh ini. Seandainya semua bangunan di dalam kampus diminta memasang submeter penggunaan elektrik untuk mengukur kadar penggunaan elektrik, tetapi tiada pihak yang membuat analisa penggunaan, ia sia- sia. Sekiranya ada pihak yang membuat analisa tetapi tiada pihak yang hendak memantau hasil analisa dan menggariskan tindakan pembetulan, juga sia sia. Sekiranya ada pihak yang telah mencadangkan tindakan susulan tetapi tiada kuasa untuk memberi arahan juga sia sia. Sekiranya arahan pembetulan telah dikuatkuasakan tetapi tiada peruntukan kewangan yang dipersetujui oleh pihak pengurusan juga sia sia. Sekiranya telah ada semua ini, tetapi penghuni kampus itu sendiri langsung tidak peka terhadap pembaziran guna elektrik, inisiatif ini tetap gagal, kerana gagal menerapkan kelestarian di dalam nilai insan warga kampus, yang merupakan matlamat terpenting sebuah universiti. Jadi dalam contoh ini sokongan sistemik bermaksud kesedaran, kerjasama dan tindakan dari berbagai pihak dari setiap lapisan organisasi dan di dalam semua aspek operasi. Jelas sekali pendekatan dan sokongan sistemik amatlah penting.

Pendekatan Sistemik

Seandainya kita faham tentang krisis sistemik ini, maka seharusnyalah pendekatan sistemik perlu diambil. Sokongan sistemik ini, boleh di nyatakan sebagai kesediaan seluruh organisasi untuk menerima tanggungjawab mencapai satu matlamat bersama iaitu, kelestarian kampus. Ianya bukan hanya perlu difikir oleh entiti2 tertentu yang hanya fokus pada aspek tertentu dari spektrum kelestarian. (Namun begitu keperluan mengadakan suatu entiti yang memantau keseluruhan perlaksanaan kampus lestari ini mungkin berguna, tetapi ia mestilah bersifat menyeluruh dan bukan hanya fokus pada kriteria tertentu) Ini bermaksud kewajipan kerjasama dari keseluruhan organisasi yang merangkumi setiap individu, setiap unit dan setiap hierarki pentadbiran sesebuah universiti untuk menjayakan walaupun satu projek yang kecil, difahami semua dan keseluruhan nadi kampus sedia menyokongnya. Sekiranya ini tidak dicapai, maka banyaklah program yang tidak seimbang akan muncul dan tiada kesinambungan dan keterusan projek, program mahupun inisiatif.

Cadangan: Pewartaan falsafah, dasar dan wawasan kampus lestari.

Berbalik kepada masalah sokongan sistemik tadi, ketiadaan dasar dan wawasan yang jelas akan membantutkan usaha melestarikan kampus. Sering terjadi, dasar dan strategi kelestarian kampus hanya diselitkan sebagai salah satu perkara di dalam pelan strategi umum  yang bersifat sementara yang sering akan terpinggir apabila ada formulasi visi dan misi baharu sesebuah unversiti. Jadi penyataan komitmen melestarikan kampus ini perlu bersifat tersendiri, lebih luas, merangkumi dan mempunyai nilai simbolik yang tidak akan terjejas oleh perubahan semasa. Ia boleh dilaksanakan didalam bentuk pewartaan.

Ada antara organisasi yang membuat pewartaan komitmen untuk melaksanakan Sasaran Pembangunan Lestari 17 (SDG 17) sebagai cara melonjakkan kelestarian. Disini ingin saya lontarkan komentar tentang pendekatan menggunapakai  17 sasaran di dalam Sustainable Development goals (SDG 17). Pendekatan berderai (fragmented approach) yang menjadi asas pembentukan SDG mempunyai kesan secara tidak langsung. Secara umumnya ia adalah sesuatu yang bagus, namun perlu difahami konteksnya. 17 sasaran kelestarian yang diwartakan oleh PBB ini adalah bersifat operasi dan boleh digunapakai dalam memilih aktiviti yang sesuai untuk dilaksanakan, namun ia bukanlah pernyataan dasar yang boleh menyatukan kesemua inisiatif ini dibawah satu sentimen yang dikongsi bersama. Membahagi2kan 17 SDG ini kepada pihak2 yang berlainan dan dalam program2 yang berasingan (contohnya, inisiatif menangangani isu keselamatan makanan hanya diletakkan kepada suatu jabatan di dalam sebuah fakulti) boleh menyebabkan individu ataupun organisasi hilang punca tentang gambaran besar yang perlu ada tentang maksud kelestarian, atau apakah sentimen disebalik setiap sasaran tersebut.

Kesimpulannya, dalam usaha melestarikan kampus atau mencapai status kampus hijau, perlu ada dasar, wawasan yang jelas menjadi titik temu dan dipegang oleh setiap warga dan unit di dalam sesebuah universiti.  Perlu ada, diperingkat awal, pernyataan yang bersifat abstrak dan simbolik yang mampu menjadi asas semua inisiatif. Antaranya universiti boleh mengambil pendekatan menggunapakai satu deklarasi ataupun pewartaan dari pengurusan tertinggi bahawa inisiatif hijau adalah suatu usaha menyeluruh yang berterusan. Universiti boleh melakarkan falsafah ini sendiri, bersesuaian dengan aspirasi unik sesebuah universiti, atau boleh mendasarkan pembentukan falsafah ini dari beberapa konsep dan prinsip yang telah sedia ada di peringkat global. Antaranya, universiti boleh menjadikan “Earth Charter” sebagai dokumen dasar pewartaan falsafah dan misi hijau kampus. Deklarasi Talloires adalah satu lagi simbol pengisytiharan yang telah diguna pakai oleh lebih dari 570 universiti dari seluruh dunia. Ianya bersifat simbolik, dasar, yang andainya diwartakan akan menjadi batu asas yang menyatukan, menyelaraskan semua unsur didalam organisasi bagi membantu kejayaan dan kesinambungan inisiatif kampus hijau.

Dengan adanya ‘punca kuasa’ kelestarian ini, setiap entiti dalam organisasi akan mempunyai titik rujukan yang membolehkan mereka saling bekerjasama mencapi objektif walaupun antara unit yang berbeza. Isu ketidakseimbangan ataupun kepincangan fokus juga boleh ditangani. Kesimpulannya, universiti perlu mengambil langkah untuk membuat komitmen dasar dan prinsip terlebih dahulu yang mudah difahami oleh setiap lapisan warga kampus, agar setiap inisiatif dan komitmen terhadap kelestarian boleh diletakkan di tempat yang sewajarnya dan boleh dirancang dengan lebih optimum, berkesan dan berterusan.

Untuk artikel seterusnya kita akan melihat satu lagi ramuan yang sangat penting dalam menjayakan program kelestarian kampus seterusnya, iaitu kerangka dan perancangan inisiatif kampus lestari yang mantap, tersendiri dan menyeluruh.

Zaky Jaafar, Julai 2021

Comments

Popular posts from this blog

Intellectual crisis in Malaysian Academia: In search of an overall philosophy

From Ubercab to Uber: The Needed Paradigm Shift in Malaysian Education

The Scientific mind and modern world crisis. (In search of an overall academic philosophy- part 2)