PERANAN UNIVERSITI: IBARAT LAMPU YANG MALAP

  

sumber :gcedestin.com

Universiti adalah institusi yang penting bagi sebuah negara. Ia ibarat kompas sebuah kapal, yang akan membantu mengemudi negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran. Ia juga institusi yang mahal. Banyak wang yang dicurahkan untuk membiayai universiti, namun begitu, nilainya hakikinya lebih tinggi dari jumlah wang yang dilaburkan. Ia ibarat sebuah lampu, menerangi masyarakat dan negara dalam memilih jalan yang betul dalam mencari kemajuan dan kemakmuran. Namun dalam senario hari ini di tahun 2024, ia ibarat sebuah lampu yang bersinar namun sinarnya tidak mampu memberi memberi cahaya kepada masyarakat, melainkan sedikit. Ianya ibarat lampu yang malap.

Seandainya dinilai dari pandangan kasar, hal ini tidak sepatutnya terjadi, kerana saban tahun, kita dimaklumkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi bahawa sekian sekian universiti, rankingnya semakin meningkat menurut beberapa sistem penarafan antarabangsa. Beberapa univesiti awam negara berada dalam kelompok 200 keatas diantara puluhan ribu universiti didunia. Namun benarkah masyarakat dapat merasai kecemerlangan kesarjanaan yang diukur sebegini?

Saya berpendapat tidak. Yang jelas, terdapat kelompongan di antara metrik ukuran kecemerlangan universiti dengan keadaan sebenar yang dirasakan di kalangan masyarakat. Pencapaian ranking universiti saban tahun seperti yang diwarwarkan sepatutnya  dituruti oleh peningkatan dalam aspek lain pembangunan negara. Namun apa yang dilihat ialah sebaliknya.

Mari kita lihat apakah faktor yang membolehkan saya berkata demikian. Yang paling jelas ialah bidang pendidikan, ekonomi dan pertanian.

Keadaan pendidikan negara walaupun jika dikira bilangan gred A yang dicapai semakin meningkat, namun dari segi penarafan antarabangsa dan beberapa statistik lain menunjukkan tren yang membimbangkan. Itu kalau dilihat dari metrik rasmi. Jika dilihat dari statistik pula, isu kemerostan bidang STEM[i], isu pelajar tidak hadir SPM[ii], isu kurikulum yang rumit dan membebankan[iii], seolahnya pendidikan negara adalah sebuah roller coaster yang sedang menjunam turun.

Di bidang pertanian pula, boleh di kaji dari ukuran keterjaminan makanan. Kita masih lagi mengalami defisit makanan yang besar, sehingga RM30 billion setahun[iv]. Sedangkan makanan yang kita usahakan sendiri pun, baja dan buruhnya juga di impot. Lalu boleh dikatakan isu keterjaminan makanan masih lagi ditahap sangat rendah.

Di bidang ekonomi, cuba kita lihat penjanaan pendapatan dari ekonomi inovasi, iaitu produk atau perkhidmatan baharu yang terhasil dari bidang penyelidikan, Dimanakah kita? Kalau dilihat dari Indeks Inovasi Global (Global Innovation Index)  atau GII, Malaysia berada pada ranking ke 36 dari 132 negara[v]. Bunyinya seolah agak baik juga. Namun GII mengukur ekosistem yang sepatutnya menaikkan ekonomi inovasi negara, bukan pendapatan sebenar ekonomi inovasi. Ertinya dari segi ekosistem untuk inovasi berkembang, Malaysia agak hebat. Dengan pendanaan dan pelaburan untuk R&D, dengan sistem perlindungan harta intelek yang cekap, dan bantuan untuk syarikat pemula inovasi yang banyak. Namun ukuran sebenar inovasi ialah sejauh mana ekonomi sesuatu negara dijana oleh produk atau servis baharu yang dicipta sendiri oleh rakyatnya. Cuba lihat produk atau teknologi yang ada dipasaran sekarang, dimanakah yang asalnya dari Malaysia? Lihat sahaja keadaan industri pertanian, pembinaan dan pembuatan yang rata2nya bergantung kepada buruh asing menunjukkan tiada sumbangan inovasi dalam sektor ekonomi negara. Bagaimana dengan penghasilan teknologi lain? Hatta untuk mencuci Sungai Kelang pun kita mengimport teknologi remaja belanda yang sangat ringkas dan mudah. Sedangkan Sejak penarafan Universiti penyelidikan di beri kepada beberapa universiti awam di Malaysia pada 2006 dan Sistem penarafan Penyelidikan Unviersiti penyeldikan diperkenalkan pada 2009, kerajaan membelanjakan berbilion ringgit untuk melonjakkan penghasilan teknologi dan inovasi negara. Mengapa kita tidak lihat universiti tempatan yang mencipta teknologi pembersihan sungai? Berapa bijikah jentera pertanian buatan negara yang berada di sawah ladang negara? Tidak ada lansung.

Dari segi sumbangan ilmu untuk kesejahteraan Masyarakat? Di mana kita? Selain dari peningkatan keciciran pendidikan seperti yang dinyatakan sebelum ini, isu tekanan hidup, isu pencemaran, isu gejala sosial dari buruh yang semakin membanjiri negara, isu rumah yang mahal, isu korupsi dan rasuah, dan semakin hari semakin menyesakkan ialah kenaikan kos sara hidup yang tidak nampak akan berhenti dari terus naik. Apakah peranan pakar2 negara yang ada diuniversiti? Tiadakah saranan yang bernas dan dapat memperlahankan kemerosotan kualiti hidup rakyat? Ibarat lampu yang malap, tidak jelas apa yang sedang berlaku dan akan terus berlaku. Tidak dinafikan terdapat tokoh2 kesarjanaan yang  berani bersuara dan menyarankan penyelesaian, namun isu yang timbul masih banyak dan masih belum nampak jalannya. Sebahagian dari ilmuwan ini pula mengulangi skrip pencapaian bagi mewarnakan universiti seoalah2 segala2nya sedang berjalan lancar. Sebahagian besar lagi ilmuwan2 ini masih terkurung di sebalik gerbang menara gading, khusyuk mentelaah isu yang entah apa, dan membelanjakan wang negara untuk meningkatkan ranking dan status universiti di mata dunia.

Suatu lagi tanggungjawab hakiki universiti ialah menghasilkan rakyat yang berkemahiran dalam melibatkan diri dalam membangunkan ekonomi negara. Selain dari jumlah graduan yang dihasilkan setiap tahun yang agak baik, apakah kualiti mereka? Dari tinjauan terbaharu, terdapat kemerosotan dari segi kepuasan majikan. Antara perkara yang menjadi rungutan ialah rendahnya kemahiran bekerja dan kemahiran insaniah[vi]

Selain dari aspek2 pembangunan negara yang dinyatakan di atas, ada suatu aspek yang lebih kritikal tetapi sukar dilihat ialah kecemerlangan pemikiran dalam mendepani cabaran dunia baharu. Bilakah kali terakhir Malaysia melangkah maju hasil cetusan idea sarjananya. Siapakah yang menggantikan Profesor Ungku Aziz? Prof Syed Hussein dan Syed Naquib Al Attas? Dimanakan Za’aba masakini? Siapa yang bakal Mengganti Khoo Kay Kim? Mereka ini dahulunya pemikir hebat yang mampu menganalisis keunikan dan keperluan masyarakat Malaysia khususnya. Bahkan mampu menyumbang gagasan yang benar2 memberi kesan kepada pembangunan fizikal, mental dan kerohanian masyarakat.

Dimanakah silapnya? Mengapa ada jurang diantara status penarafan yang digembargemburkan, nilai wang yang dilaburkan dengan pencapaian sebenar negara?

Kita harus menerima kenyataan bahawa terdapat jurang antara persepsi yang dibina dengan keadaan sebenar negara. Sekiranya jurang ini tidak dihiraukan, maka akan terjadilah situasi dimana wang dan sumber kesarjanaan negara dibelanjakankan untuk ranking dan status, sedangkan situasi dalam masyarakat semain merosot. Di saat yang sama negara kehilangan nilai sebenar intsitusi kesarjanaan yang kesannya akan terasa sehingga seratus tahun yang akan datang.

Kita perlukan sarjana kita untuk memperelok sistem pendidikan, untuk melonjakkan ekonomi inovasi, untuk membebaskan negara dari terjajah aspek makanannya. Kita perlu sarjana yang mendidik jiwa kreatif dan berani untuk mencipta kemajuan yang bebas dan merdeka. Untuk ini kita perlukan ilmu dan kesarjanaan yang ada di unviersiti. Namun sayangnya sarjana hebat kita ramainya sedang duduk enak dalam kepompong yang diwarnai dengan pengeliruan tentang ranking dan darjat ilmunya.

Kita harus jujur dalam menilai pencapaian sebenar kita. Jangan dengan hanya berpandukan pencapaian dalam sistem penarafan kuantitatif yang sentiasa boleh dimanipulasi oleh pihak berkepentingan, kita merasa selesa dan berpeluk tubuh, tanpa memahami kenyataan. Tidak salah untuk fokus kepada perkara negatif dan kelemahan yang ada. Ini tugas kesarjanaan yang sebenarnya. Kita perlukan doktor untuk mengenalpasti penyakit. Itu tugas doktor. Kita tidak akan berjumpa doktor untuk menyenaraikan kecergasan dan kesihatan kita untuk dibanggakan dikhalayak. Begitu juga kesarjanaan dan keilmuwan, kita perlukan mereka untuk betul2 ikhlas mengkaji kelemahan, masalah dan berusaha mencari penyelasaian untuk masyarakat.

Semoga universiti kita kembali bersinar dengan terangnya...

 



[i] Kurang minat STEM, universiti mungkin alami kekurangan pelajar aliran sains selepas ini. BH Online, April 23: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/04/1238227/kurang-minat-stem-universiti-mungkin-alami-kekurangan-pelajar-aliran

[ii] Dewan Rakyat: KPM sahkan hampir 30,000 pelajar tak ambil SPM 2022: https://www.kosmo.com.my/2023/06/15/dewan-rakyat-kpm-sahkan-hampir-30000-pelajar-tak-ambil-spm-2022/#google_vignette

[iii] Subjek rumit, soalan sukar: https://www.sinarharian.com.my/article/625302/berita/laporan-khas/subjek-rumit-soalan-sukar

[iv] Malaysia import RM75.6 bilion makanan tahun lalu: Berita harian, 29, Disember 2023: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2023/12/1193892/malaysia-import-rm756-bilion-makanan-tahun-lalu

[v] Global Innovation Index 2023: https://www.wipo.int/edocs/pubdocs/en/wipo-pub-2000-2023-section1-en-gii-2023-at-a-glance-global-innovation-index-2023.pdf

[vi] Tiada guna ranking universiti jika graduan kurang kemahiran insaniah, kata majikan: FMT, 20 jun 2024. https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/06/20/tiada-guna-ranking-universiti-jika-graduan-kurang-kemahiran-insaniah-kata-majikan/


Comments

Popular posts from this blog

Irrationality of Modern Rationality- The Danger of Thinking Small.

Catatan Log ekspedisi Sungai Bebar 16 dan 17hb September 2016