ENAM BELAS: KISAH UNTA DAN TALI
Semakin tinggi pengkhususan ilmu, semakin sempit kebijaksanaan manusia.
Seorang pemilik unta datang bertemu seorang pembuat tali di padang pasir. Katanya, “Aku perlukan tali yang baik untuk mengikat untaku yang akan minum dikolam sana, agar ia tidak terlepas dan sesat di padang pasir.” setelah itu pemilik unta pun pulang.
Pembuat tali itu sangat mahir. Tangannya cekap. Simpulannya kuat. Ukurannya tepat. Dia pun mengikat unta tersebut pada sebatang pokok dengan talinya.
Tetapi esoknya, pemilik unta datang semula dengan wajah kecewa.
“Tali engkau terlalu pendek,” katanya. “Untaku tidak dapat minum di kolam berhampiran walaupun hanya beberapa hasta dari tempat ia diikat.”
Lalu pembuat tali itu menjawab dengan tenang:
“Kepakaranku adalah membuat tali. Bukan mengurus unta.”
Di situlah seluruh penyakit intelektual moden tersembunyi.
Pembuat tali itu sebenarnya tidak gagal dalam bidangnya. Tali itu kuat. Simpulannya baik. Fungsi teknikalnya sempurna. Jika diukur dengan standard profesional atau teknikal, mungkin dia mendapat markah penuh.
Tetapi unta itu masih menderita.
Inilah masalah besar pemikiran terkhas. Ia melahirkan manusia yang mampu menyelesaikan serpihan masalah, tetapi gagal memahami kehidupan sebagai satu keseluruhan yang saling berkait.
Maka lahirlah dunia yang penuh paradoks.
Kita ada pakar makanan, tetapi manusia semakin sakit. Kita ada pakar pendidikan, tetapi manusia semakin hilang makna. Kita ada pakar komunikasi, tetapi manusia semakin sunyi. Kita ada pakar pembangunan, tetapi masyarakat semakin retak.
Kerana kehidupan tidak bergerak dalam “bidang”. Kehidupan bergerak sebagai keseluruhan.
Tetapi universiti moden mengajar manusia supaya melihat realiti seperti rak-rak terpisah di dalam gudang. Setiap orang menjaga lorong masing-masing. Jangan campur urusan orang lain. Jangan keluar disiplin. Jangan melangkaui skop.
Akhirnya lahirlah ilmuan yang sangat pintar tentang tali, tetapi tidak pernah benar-benar memahami unta.
Barangkali sebab itu dunia moden menjadi sangat efisien tetapi semakin tidak bijaksana.
Oleh Fikir Lestari

Comments
Post a Comment