"Berikan Saya Parameter": Kisah krisis keilmuan dikalangan sarjana negara.
"Berikan saya parameter.."
Beberapa tahu dahulu, didalam suatu perbincangan maya, isu kemunduran sistem pendidikan nasional menjadi topik perbincangan. Antara persoalan yang timbul, bagaimana kita memastikan kualiti pendidikan meningkat. Lalu seorang profesor mencelah, "berikan saya parameter yang terlibat, saya akan beritahu jawapannya"*.
Ini boleh memberi tafsiran bahawa negara sedang mengalami krisis intelektualisme yang berat. Apabila seorang ilmuan meminta 'parameter' untuk diselesaikan dengan satu kaedah yang dia mahir, sebenarnya dia meletakkan dirinya ke status algoritma sahaja, menunggu input untuk menghasilkan output berdasarkan algoritma yang telah dipilih. Apatah lagi, pada hari ini, 2026, pengoperasian algoritma tidak perlukan kebijaksanaan seorang manusia, ilmuan seperti ini dengan mudah boleh digantikan dengan AI yang lebih pantas dan cekap menghasilkan jawapan melalui algoritma.
Seorang Ilmuan, apatah lagi yang bertaraf profesor, sepatutnya sedar, bahawa mengenalpasti 'parameter' itu sendiri adalah tugas seorang sarjana. Ia adalah soal nilai, soal kebijaksanaan, soal kemanusiaan. Dia sepatutnya, berdasarkan kebijaksanaannya sebagai seorang ilmuwan berpengalaman, mengishtiharkan paramater itu sendiri, (Ini lebih dekat dengan konsep "profess"), mengishtiharkan, mengutarakan parameter yang sesuai. Mengolah jawapan berdasarkan parameter adalah kerja matematik, mekanistik, dan pada hari ini, dengan kecanggihan AI, tidak perlu daya fikir manusia lagi.
Kebolehan mengenalpasti, menentukan, mengishtiharkan parameter yang sesuai adalah proses intelektual tahap tinggi. Ini diharapkan dari sistem intelektual negara. Bukan menunggu pihak lain mengutarakan parameter, sedangkan dia hanya bersedia dengan mesin pengiraan.
Ini hanyalah sekadar anekdot yang provokatif. Tidak dinafikan kepentingan kemahiran memproses parameter, ia perlu juga dikuasai. Namun untuk ilmuan di tahap tinggi, anekdot ini mengutarakan krisis yang ada kebenaran. Seluruh ekosistem pendidikan tinggi perlu bermuhasabah tentang krisis asas epistemologi yang melanda keilmuan moden.
*Parameter, atau pemboleh ubah, merupakan informasi asas yang bakal menentukan keputusan yang dihasilkan. Contohnya, untuk menentukan tahap nilai seorang murid, parameter yang mungkin menjadi penentu biasanya bergantung kepada prinsip asas nilai seorang pengkaji. Ada yang merasakan kemampuan jasmani lebih bernilai, ada yang merasakan kemampuan mengira, ada yang merasakan sifat tanggungjawab lebih bernilai. Dalam soal membina arah dan falsafah baharu, ini sepatutnya dikembalikan kepada kebijaksanaan seorang ilmuan, bukan sekadar norma insitusi yang jumud. Di sini jelas, kebolehan menentukan parameter itu sendiri adalah proses yang memerlukan kebijaksanaan melampaui kemampuan AI, dan bukan sekadar kemahiran memproses.
Comments
Post a Comment