Universiti Untuk Masyarakat: Kebuntuan Ilmuwan Universiti

Pagi ini di dalam rancangan bual bicara di sebuah stesen tv tersohor negara, seorang menteri berbicara tentang suatu pendekatan baharu di dalam pengajian di universiti, iaitu program SULAM (Service Learning Malaysia - University For Society). Ianya merupakan program memasyarakatkan universiti dengan cara menggalakkan pembelajaran dalam kuliah di aplikasi kan ke dalam masyarakat. Contohnya pelajar belajar tentang struktur binaan kayu dan dalam kursus itu ada kerja kursus membina struktur kayu untuk sebuah kampung. Ianya sesuatu yang sangat bagus, namun di sini saya ingin mengutarakan suatu kesimpulan yang penuh kontroversi, iaitu ilmuwan negara di menara gading adalah ibarat lembu yang dicucuk hidung.

Bukan kerana program itu sendiri, tapi pernahkah terfikir mengapa program sebegini wujud? Program ini berasaskan prinsip yang dilaungkan dengan slogan Universiti untuk Masyarakat. Soalnya Selama ini universiti untuk siapa? hanya sejak 2 tahun kebelakangan ini Kementerian membuat saranan sebegini. Selama berpuluh tahun di Malaysia ini universiti untuk siapa? selama ini universiti buat apa? Ada sesuatu yang tak kena di sini.

Bayangkan situasi yang sama kita andaikan berlaku pada jentera ketenteraan. Andaikan Pihak tentera sebuah negara terlalu sibuk dengan aktiviti mengilatkan kasut dan berkawad dengan cantik, sehingga terlupa tugas sebenar. Sehingga Pak menteri yang baharu terpaksa mengisytiharkan konsep baharu, iaitu tentera untuk keselamatan negara. Janggal bukan? Apakah selama ini tentera hanya mengilat kasut dan berkawad cantik? (ini kiasan dan tidak ada kena mengena dengan angkatan tentera kita)

Itulah yang berlaku pada universiti tempatan, ilmuwan terlalu fokus dengan perkara sampingan sehingga terlupa bahawa tugas sebenar Universiti ialah untuk masyarakat. Jadi apakah yang sedang berlaku di universiti negara ini? Mari kita lihat apa yang sedang berlaku.

Apa yang sedang berlaku ialah sarjana dan ilmuwan negara sedang disibukkan dengan mengilat kasut dan berkawad cantik. Setiap tahun ratusan juta dibelanjakan untuk penyelidikan dan hambatan kpi pensyarah iaitu menerbitkan artikel ilmiah untuk jurnal2 berbayar yang rata2nya dikuasai oleh syarikat perniagaan luar negara. Seandainya mereka tidak mencapai sasaran kpi sebegini, maka mereka tidak akan dinaikkan gaji dan pangkat. Cuba kita lihat, dengan ratusan juta dicurahkan untuk penyelidikan negara, tetapi inovasi dan perubahan masyarakat masih tidak kelihatan. Masalah asas negara pun masih tidak selesai. Kemiskinan, jurang pendapatan, rumah tidak mampu milik, masalah sampah, pencemaran alam, masalah infra dan lain lain. Di sungai Kelang ketika ini, sedang terapung sebuah bot berkuasa suria yang sedang giat mengutip sampah secara automatik, tetapi ianya inovasi yang diimport dari seorang remaja dari Belanda. Di mana pakar dan saintis negara?

Saya percaya sarjana dan ilmuwan kita sebenarnya bijaksana, mampu melihat masalah diluar sana, dan masing2 mahu dan mampu bertindak mengikut cara, kepakaran dan kecenderungan masing2. Tapi apabila mata2 mereka ditutup dengan kpi tertentu yang seragam, yang ditentukan oleh menteri yang gelisah, maka terhijablah deria kesedaran dan masing2 fokus untuk melunaskan kpi sendiri samada secara rela atau tidak. Universiti menjadi kenderaan pak menteri untuk menunjukkan prestasi cemerlang di Parlimen. saban tahun diumumkan ranking universiti ini meningkat naik, universiti itu masuk top ten , dsb.

Ia bermula puluhan tahun dahulu, sekira 1990an, dengan isu di parlimen apabila ada yang mengadu universiti kita tak terbilang, maka datanglah seorang Pak menteri berazam menaikkan ranking universiti tempatan agar bertaraf dunia. Maka dikerah lah sekalian sarjana agar menulis dalam makalah tersohor diluar negara agar universiti dapat markah tinggi seperti negara maju. Ketika itu seluruh jentera universiti di kerah ke arah penyelidikan. Ratusan juta setiap tahun dicurahkan kepada 5 buah universiti pendidikan, semata2 berfokus kepada menaikkan ranking. Natijahnya, ranking melonjak, namun ilmu sarjana disimpan oleh syarikat penerbitan ilmiah yang eksklusif untuk golongan cendekiawan. Ianya tidak dapat dibaca melainkan dibayar pula. Kalau dapat dibaca pun tiada anggota masyarakat yang faham kerana terlalu ilmiah. Usah kan orang awam, sarjana dari bidang lain pun tidak dapat memahami ilmuwan berlainan bidang, Maka jadilah timbunan ilmu di makalah2 eksklusif. Kemudian mereka sedar ada kelompongan dari segi inovasi, maka dikerah lah sarjana agar mengkomersilkan inovasi maka sarjana yang tidak cenderung pada inovasi pun dihambat berinovasi dan berkeusahawanan.

Kemudian mereka sedar ada kelompongan bidang pertanian. Penulisan Ilmiah ilmu pertanian semakin meningkat, tetapi pertanian negara semakin mundur maka menteri pun memanggil sarjana sebuah universiti dan hala kan mereka agar kembali fokus pada pertanian. Dengan segala hala-tuju yang berubah2 mengikut kegelisahan Pak menteri akhirnya sarjana sendiri tidak dapat menentukan apa yang sebenarnya mereka perlu lakukan. Inilah sebabnya saya menkiaskan ilmuwan negara sekarang umpama lembu yang dicucuk hidung. Bagi saya ini bukanlah kesalahan menteri semata2, tetapi apabila Sarjana tidak menunjukkan keberanian menasihat kan pemimpin, mengenal pasti isu dan penyelesaian yang terbaik, maka rakyat pun gelisah lalu Pak menteri perlu berbuat sesuatu dan mula mengerahkan sarjana membuat begitu begini. Ilmuwan negara juga turut bersalah. Tiada keberanian dan masing2 fokus untuk kenaikan pangkat menurut ktirteria yang dilontarkan oleh Pak menteri.

Ke mana kita akhirnya? Pada pandangan saya, perlu dilihat paradigma itu sendiri. Seandainya kita menganggap kesarjanaan sama dengan menternak lembu, maka jangan hairan seandainya sarjana, limuwan dan cendekiawan negara dicucuk hidungnya ke sana kemari oleh barang siapa yang memegang tampuk pemerintahan ketika itu.

Comments

Popular posts from this blog

Intellectual crisis in Malaysian Academia: In search of an overall philosophy

From Ubercab to Uber: The Needed Paradigm Shift in Malaysian Education

The Scientific mind and modern world crisis. (In search of an overall academic philosophy- part 2)