Usaha taghyir gerakan Islam: Perlu medan tempur yang pragmatik

(Artikel ini di terbitkan pertama kali di Blog fikirzikir. Pautannya di sini.)

Perbahasan tentang mendepankan pemikiran Islam, dalam membina kekuatan umat di era masakini memang giat berlaku diseluruh dunia. Ia dipelopori oleh pemikir Islam yang tidak kurang hebat dewasa ini. Tetapi saya terlihat ada kelompongan yang menyebabkan ilham dan ide yang hebat bernas dan segar dari mereka tidak dapat menjentik masyarakat untuk mengubah dunia dengan gagasan Islami.


Semalam saya menghadiri suatu lagi perbincangan tentang pemikiran Islam dalam menghadapi cabaran semasa. Temanya berkisar tentang bagaimanakah mencetuskan perubahan positif (Taghyir/Islah) dalam gerakan Islami agar lebih berdaya maju dan berkesan pada hari ini. Beberapa panel berkaliber dan tersohor dari institusi yang relevan dalam isu ini membentangkan wacana masing-masing dalam satu sesi meja bulat.

Antara isu yang disentuh ialah polemik gerakan reformasi, kemelut epistemik, isu politik yang mencengkam, dan perlunya kepada pemantapan falsafah ilmu. Walaupun isu ini telah lama dibincangkan, terdapat idea dan gagasan segar yang boleh dipertimbangkan. Sedikit sebanyak ia mampu menjentik minda pemikir untuk memperhalusi siasah gerakan perubahan.

Tetapi kelompongan yang saya lihat masih di sana. Dan dalam penulisan kali ini saya cuba merungkai kelompongan yang sukar diisi disini. Dari satu segi, kelompongan ini disedari oleh ahli panel, tapi masih tiada jawapan yang jitu untuk menjawabnya.

Saya mulakan diskusi ni dengan melihat kepada perpektif 'ruang tempur'. Sehingga kini ruang tempur perbahasan islamisasi masih berkisar dari segi polemik epistemologi, rangka falsafah dan pemerhatian umum. Sedangkan medan pertempuran hari ini telah merangkumi aras paradigmatik dan pragmatik.

Pada zaman kebangkitan ilmu Islam, perdebatan dan pertempuran memang pada aras falsafah dan epistemologi ilmu. Sebagai contoh, semasa Imam Asy'ari (rah.a) bertempur dengan golongan pemikir Aristotle dan neo Platonisme, dia bertempur dalam peringkat falsafah dan epistemologi limu. Itu medan pertempuran dia, dan dia berjaya. Dia mempunyai kekuatan berhadapan dengan golongan ini dengan menggunakan, bukan hanya dengan dalil naqli, bahkan  hujah a'qli dan kaedah ra'y dalam perdebatan. Dan dia berjaya membentuk perisai Islami yang memelihara umat Islam dari terjerumus dalam kesesatan kedajalan sehingga ke hari ini. Tidak dinafikan akan sentiasa ada kritikan yang wajar, bahkan serangan dajaliah untuk mengikis perisai ini, namun boleh dikatakan ruang tempur ini telah berjaya memelihara majoriti umat. Begitu juga Imam Al Ghazali, Maturidi, Ibn Taymiyyah dan lain-lainnya, (rahmatullah alaihum) pertempuran dari segi aqidah dan akal agak sukar digugat walaupun pada masa ini.

Seterusnya pada era pasca moden, serangan ke atas pemikiran islam lebih bersifat paradigmatik dan pragmatik. Ini muncul apabila gerakan kolonisasi oleh barat menyebabkan timbul pertembungan antara paradigma politik dan ekonomi barat dengan tamadun Islam. Ketika ini muncul reformis-reformis Islami yang bertempur dari berbagai sudut. Contohnya Hassan Al banna, Maududi, Syed Ahmad Khan dan ramai lagi. Kebanyakannya pertempuran ini berkisar dari segi ideologi politik, ekonomi dan pendidikan. Ada antaranya yang berjaya, ada yang kecundang. Kejayaan atau kekalahan ini sedikit sebanyak juga mempunyai kesan ke atas tamadun Islam. Namun ada sebahagiannya yang tewas kerana masih bergantung kepada kerangka pemikiran barat dalam melawan ideologi barat itu sendiri. Di sini kemahiran bertempur dalam ideologi dan falsafah masih diperlukan dan masih membantu.

Namun hari ini, pertempuran yang berlaku, dan kurang disedari ialah pada tahap pragmatik, iaitu dalam perlaksanaan mekanisma peradaban melalui skop teknokratik. Di sini ada sesuatu yang menyebabkan pemikiran peringkat epistemik dan falsafah Islam gagal mencabar kemaraan falsafah barat.

Ini kerana dalam medan  pertempuran pragmatik, tidak ramai teknokratik islam yang mempunyai kemahiran berbahas dan mengunggah pembaratan tamadun. Pada tahap ini perbahasan yang perlu ialah pada peringkat, perlaksanaan, polisi pentadbiran, sistem pentadbiran, kaedah pengukuran nilai, kaedah pengurusan, teknik pendidikan, teknologi penghasilan dan lain-lain aspek nyata dalam manifestasi tamadun. Contohnya, serangan pembaratan dalam ekonomi ialah melalui samada ekonomi keynesian, ekonomi neoklasikal atau ekonomi neoliberal. Konsep konsep ini lebih kuat diperingkat pragmatik. Dalam pendidikan pula, tak ramai yang berani mengkritik taksonomi Bloom, teknik pengajaran yang bermazhab positivis yang kini menjadi anutan sistem pendidikan kita. Dalam politik pula, tidak ramai yang berani mencabar asas demokrasi yang bersusur galur dari tamadun greek. Dari segi sosioekonomi, tidak ramai pakar ekonomi dari umat Islam yang berani mengkritik kapitalisme secara berhadapan. Dalam pengurusan manusia, tidak ramai yang berani  atau pun mahir mengkritik hujah Frederick Taylor tentang maksud kecekapan.

Mengapa ini terjadi? Bukan tidak ada pakar ekonomi, pakar pendidikan, pakar psikologi, pakar sains yang berugama Islam dan benar-benar ikhlas. Dan mereka tidak berdiam diri, mereka juga cuba bertempur dengan kejayaan kecil di sana sini,  tetapi tidak mampu menahan kemaraan pemikiran barat dengan berkesan.

Jawapannya ialah kerana, pakar teknokratik ini, dididik, dibesarkan dan berfungsi dalam kerangka pemikiran barat. Secara khususnya, terdapat pemisahan antara metafisik (falsafah dan ideologi) dan dunia materiali. Oleh kerana kepakaran mereka diperingkat teknokratik dan agak cetek diperingkat epsitemologi dan ontologi, mereka pula tidak mampu melawan kerangka barat yang telah menguasai sistem pemikiran bidang mereka. Contohnya seorang pakar ekonomi Islam mungkin berusaha untuk menggagaskan kaedah keluar dari bahaya ekonomi kapitalis. Tetapi dia sendiri bergantung kepada akar yang sama dengan kapitalisme, dan mereka biasanya tidak arif bertempur dalam medan akar falsafah. Mereka tidak dapat menggugat falsafah Adam Smith, yang kini mendasari hampir seluruh ekonomi dunia. Paling hebat pun mereka akan melompat ke dasar sosialis Karl Marx. Sedangkan Karl Marx juga bertolak dari akar falsafah yang dipelopori oleh Rene Descarte, yang menjadi asas kepada pemikiran reduksionis, dan seterusnya membawa kepada era sekularisme. Dalam pendidikan pula, seorang pendidik Islam yang mungkin sangat mengagumi dan bersetuju dengan konsep Ta'dib yang digagaskan Syed Naquib Al-Attas, tetapi apabila masuk kedalam kelas atau kuliah, terpaksa ' berfiqah' mazhab taksonomi Bloom kerana itu sahaja kaedah pragmatik yang diterima pakai secara rasmi.

Jurang perbezaan antara bidang teknokratik dan bidang falsafah ini desedari oleh beberapa pemikir Islam. Diakhir suatu syarahan, Prof Syed Hussein Nasir pernah mengutarakan perlunya ada 'jambatan' antara golongan pelaksana teknokratik dengan golongan falsafah. Saya sendiri pernah menulis tentang isu ini. (Jaafar, Z. Rahmatullah, B. 2025)

Secara idealistik, antara cara penyelesaian masalah ini ialah perlunya kepada sarjana yang bersifat 'Polymath' iaitu ia seorang yang mahir dalam berbagai bidang, bukan sahaja mahir falsafah, bahkan dia juga saintis bidang lain bahkan seorang teknokrat juga. Dia mahir ilmu rentas bidang, dari falsafah sehingga kepada paradigma dan kaedah pragmatik. Ini memang ciri asas ilmuwan silam. Mereka bukan hanya mahir Al Quran. ilmu hadis, ilmu fiqah dan tasawuf, tetapi juga mereka pelopor bidang astronomi, sains, perubatan, kemasyarakatan, pengendalian peradaban dan sebagainya. Dibarat pun ilmuwan mereka pada ketika itu melahirkan ramai polimath sebegini. Contohnya Leonardo Da vinci, seorang seniman, saintis dan penginovasi yang banyak mewarnai tamadun barat.

Sayangnya ada cabaran di sini. Pendidikan moden telah menyebabkan terhapusnya pemikir polimath yang menjadi ciri-ciri ulama terdahulu. Bagaimana ia terhapus? ini memerlukan perbahasan yang panjang. Secara ringkasnya, kerangka reduksionisme telah menghasilkan pendidikan moden yang bercerai dan terpisah. Sarjana bidang A hanya perlu menjadi pakar terhebat dalam bidangnya sahaja, dan Pakar bidang B hanya mahir dalam bidang B sahaja. Ini telah berjalan selama ratusan tahun. Bukan itu sahaja, terdapat pemisahan antara bidang sains alami, dan bidang sains sosial dan kemanusiaan. Kecenderungan pemisahan ini  dipacu oleh pemikiran reduksionis yang ada dalam pemikiran moden.

Di dalam situasi dimana kita telah kehilangan Polimath, kita perlu kepada penyelesaian hari ini. Antaranya, ialah membina kemahiran dan kefahaman teknokrat dengan berbahas dengan ahli falsafah, dan ahli falsafah perlu ruang dan forum dimana mereka boleh mendengar dan melontarkan pandangan kepada  pejuang Islami yang mempunyai kemahiran khusus pada aras pragmatik sehingga mampu mengulas, mencabar, amalan teknokratik yang menjadi punca sekularisme masih berkuasa pada hari ini.

Saranan kesimpulan untuk situasi semasa, ialah untuk para pejuang taghyir Islami menjangkau medan tempur dari polemik falsafah dan metafizik semata, ke bidang teknokratik yang menjadi asas amalan peradaban nyata hari ini. Perlu diadakan wacana, titik temu, sesi dialog yang melibatkan golongan teknokrat berinteraksi dengan pemikir falsafah. Tentunya ada kejanggalan pada awalnya kerana ia akan menjadi suatu forum dimana ayam cuba bercakap dengan itik. Tapi disinilah kefahaman akan dibina. Ia mengambil masa, tapi masa tak akan menunggu kita selagi kita tidak bergerak dengan langkah permulaan.

Rujukan:

Z, Jaafar, Rahmatullah, B. 2025. Perlunya Dimensi Teknokratik Dalam membatasi Kesan Reduksionisme Liar, bab dalam “Kerancuan Falsafah Barat”, Penerbit Pusat Kajian Pemikiran dan Peradaban Umah. (ISBN 978-629-9953-8-8))


Zaky Jaafar, 10 Ogos 2025

Comments

Popular posts from this blog

Bloom’s Taxonomy And OBE: Manifestation Of Reductionism In Malaysian Education

Personal Discretion in decision making is a must for academia

MERUNGKAI KEMELUT PARADIGMA PENDIDIKAN NEGARA