Sekolah Kejiranan: Idea pendidikan pasca COVID19

 Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Sumber foto: www.bpe.org

Akibat dari kesan COVID19, dan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan, memaksa ramai pelajar belajar dari rumah. Situasi ini mengingatkan saya kepada suatu idea yang pernah saya fikirkan beberapa tahun dahulu sebelum COVID19 .

Asalnya idea ini difikirkan kerana beban sosioekonomi sekolah awam dan swasta yang memerlukan infrastruktur yang mahal disamping menambah bebanan pengangkutan (antara penyumbang kesesakan jalanraya) dan juga bebanan ekonomi dan sosial keluarga yang terpaksa menghantar anak agak jauh dari rumah. 

Di dalam krisis pandemik ini pula, ada masalah baharu yang timbul. Waktu ini, pdpr (pendidikan dan pembelajaran di rumah) menjadi pilihan. Antara masalah yang tidak ramai sedar dari pendekatan ini ialah beban infra pembelajaran, iaitu keperluan capaian internet dan penyediaan peranti jatuh ke bahu ibubapa. Bagi kawasan yang jauh dari jaringan, dan bagi ibubapa yang tidak mampu menyediakan peranti yang cukup, mungkin berlaku keciciran.

Cadangan yang diutarakan disini ialah konsep sekolah kejiranan, iaitu kemudahan pendidikan yang berskala kejiranan. Ianya boleh dibandingkan dengan konsep surau , tadika atau taska di dalam taman perumahan masakini.

Setiap sekolah kejiranan ini mempunyai kemudahan ICT (internet, video conferencing) yang kukuh dan berasaskan fiber. Dari segi tenaga pengajar, ia memerlukan mungkin beberapa guru yang bertindak sebagai penyelaras bagi murid dari tahun 1 sehinggalah ke tingkatan 5. Ianya tak perlu besar, untuk satu kejiranan mungkin hanya 20-50 orang murid dari 100-200 isirumah berhampiran. Kelas berasingan diajar secara online dan menekankan pembelajaran kendiri.  Di peringkat kawasan pula sekolah kejiranan  ini boleh berkongsi guru melalui teleconferencing atau pengajaran tak segerak (non sycnchronised learning) seperti -rakaman video dan sebagainya. Dengan cara ini, bilangan guru masih boleh tetap sama, bahkan mungkin isu ketidakcukupan guru akan berkurang. Dengan kelaziman pengajaran atas talian sekarang, hatta pengajaran bersemuka secara persendirian juga boleh dilakukan.

Sesebuah kelas terdiri secara maya merangkumi beberapa kejiranan. Di kejiranan itu sendiri adalah anak2 jiran yang boleh dipantau oleh kejiranan sendiri, sedangkan rakan sekelas mereka secara maya adalah lebih luas.

Dalam senario pkp, cara ini boleh mengelakkan keperluan merentas daerah, bahkan mungkin tidak merentas kejiranan pun. Anak2 mungkin boleh berjalan kaki dengan selamat dalam kawasan kejiranan. Pematuhan sop lebih mudah dilaksanakan dalam skala kecil sebegini.

Untuk memenuhi keperluan infra fizikal yang besar seperti padang dan sebagainya, di peringkat kawasan atau daerah pula disediakan pusat sukan dan lain2 keperluan yang boleh dikongsi oleh banyak unit persekolahan ini. Kurikulum dibekalkan secara online dan melalui PBL, tutorial, pengajaran dan pembelajaran segerak (synchronous)  atau tak segerak (asynchronous teaching).

Mungkin Covid 19 ini memaksa kita untuk mengkaji kemungkinan ini.


Zaky Jaafar



Comments

Popular posts from this blog

Intellectual crisis in Malaysian Academia: In search of an overall philosophy

From Ubercab to Uber: The Needed Paradigm Shift in Malaysian Education

The Scientific mind and modern world crisis. (In search of an overall academic philosophy- part 2)