SARJANA DAN ILMUWAN PERLUKAN MASA UNTUK 'BERANGAN'



Apakah tugas sarjana dan ilmuwan negara? Bagi saya mereka bukan hanya menjadi tenaga pengajar, bahkan yang lebih penting ialah menjadi tenaga pemikir yang mampu mengolah, mencorak dan menjangka perubahan yang bakal menerjah di masa hadapan. Dalam situasi krisis mereka mampu mencadangkan penyelesaian yang berkesan dan berimpak. Oleh itu mereka perlu banyak masa untuk mebayangkan dan memainkan situasi dan senario berbeza bagi setiap permasalahan yang timbul. Mereka tidak boleh bertindak secara refleks seperti robot ataupun melatah dalam menggarap isu2 kemajuan pembangunan, dan permasalahan masyarakat di dalam krisis seumpama krisis pandemik yang sedang kita hadapai sekarang.



Untuk itu salah satu aktiviti yang sangat perlu bagi golongan sarjana dan ilmuwan ialah 'berangan', atau bertafakur dalam bahasa yang lebih rasmi. Mungkin perkataan ‘berangan’ dalam tajuk artikel ini lebih sensasi untuk menarik minat pembaca. Berangan sering diangap negatif oleh masyarakat. Namun kalau kita kaji sejarah kemajuan tamadun manusia, banyak perubahan, inovasi dan transformasi tamadun manusia adalah dihasilkan oleh golongan yang selalu bermimpikan perubahan, kemajuan, peningkatan hidup yang lebih bermakna, atau pendek kata, berangan. Dengan kata lain golongan pemikir, ilmuwan ialah mereka yang mengambil masa untuk meneroka alam yang belum kelihatan ataupun tidak kelihatan.



Adalah menjadi kerisauan apabila mutakhir ini kita melihat peranan sarjana dan ilmuwan negara tidak begitu menonjol dalam membahas, mengolah, mereka, mencorak pemikiran masyarakat di saat dunia berubah dengan semakin dinamik dengan krisis dan kekacauan norma oleh samada wabak covid19 mahupun perubahan sistem tamadun dengan perubahan teknologi yang semakin rancak. Akibatnya naratif pembangunan, kemasyarakatan dan politik lebih dikuasai oleh 'pemikir' sambilan ataupun politikus yang mempunyai sentimen yang tertentu. Kita dapat merasakan ketandusan pemikir besar seperti di masa lalu dimana kita ada sarjana bertaraf dunia yang mampu membentuk dan mempengaruhi sistem peradaban, bahkan pemikiran masyarakat. Dahulu kita ada Ungku Aziz, Syed Husin Al Atas, Syed Naquib Al attas. Di bidang penulisan pula kita ada Zaaba, Shahnon Ahmad, A Samad Ismail. Dari segi teknologi, pendidikan, ekonomi dan pemodenan kita ada tokoh2 yang mampu mencorak negara dengan berkesan. Penulisan dan sumbangan merka walaupun dalam kepakaran masing2, mampu menyentuh masyarakat dan menjana perubahan secara meluas.

Namun pada hari ini, dimana bilangan ‘ilmuan’ negara di insitusi pendidikan tinggi semakin ramai, ada sesuatu yang kurang dalam sumbangan ilmiah golongan ini dalam naratif pembangunan negara masakini. Isu semasa yang sering jadi rintihan masyarakat, seperti kemiskinan B40, kemiskinan bandar, isu rasuah, isu pemerkosaan sumber alam, isu remaja hilang arah, isu keruntuhan institusi keluarga, pada pendapat saya masih berlaku dan adakala nya semakin parah. Ini ada kaitan dengan isu ekonomi, isu politik, isu pendidikan, isu keinsanan. Dimanakah ilmuwan yang mampu menggarap soal 2 sebegini dan memberikan penyelesaian yang tuntas? Saya berpendapat mereka lebih menonjol dalam zon selesa masing2 dan tidak keluar terjun ke dalam masyarakat.

Pada pendapat saya, antara faktor yang menjadi penghalang kepada ilmuwan dan sarjana mengambil peranan lebih aktif dalam merumus naratif peradaban atau gambaran besar (big picture scenario) dalam menangani masalah negara ialah Ilmuwan sendiri tidak punya masa untuk ‘berangan’.

Ilmuan dan sarjana di peringkat pengajian tinggi kini sedang dihambat desakan dari segi pencapaian prestasi yang di tentukan oleh kpi tertentu. Oleh itu sebahagian besar masa mereka akan dipenuhi dengan keperluan 'menghasilkan' atau melaksanakan aktiviti2 yang akan menjadi matriks penilaian prestasi merkea di akhir tahun. Disamping pengajaran, mereka mesti memenuhi angka tertentu untuk memastikan mereka tidak dibuang kerja, atau tidak dapat naik pangkat. Contohnya, selain mengajar, mengkaji, mereka perlu mebuktikan kepakaran mereka dengan menghasilkan kertas ilmiah dengan bilangan dan kualiti tertentu, mereka perlu mendapatkan dana penyelidikan dengan jumlah tertentu, mereka perlu membuktikan impak pada masyarakat dengan proses dan kriteria tertentu. selain itu, hambatan menyiapkan laporan, membuat pemantauan berkala, menguruskan matriks pencapaian agar memenuhi hambatan keperluan pencapaian ranking dan sebagainya. Akhirnya ilmuwan2 sebegini akan sentiasa bekerja untuk ‘menghasilkan’ dan tidak punya masa untuk berhenti sejenak dan berfikir, bertafakur dan berangan. Ilmuwan, memerlukan ruang, memerlukan masa untuk BERFIKIR. MENTAAKUL, MENJANGKA, MENGANGANKAN PERUBAHAN. Ini memerlukan banyak masa santai dimana aktiviti menggarap permasalahan dunia, memerhatikan tren perubahan, bercakap dengan ahli masyarakat, berbual hati ke hati golongan sasar, BAHKAN BERTAFAKUR DENGAN DIRI SENDIRI untuk memahami erti kehidupan.

Oleh itu saranan yang ingin saya berikan di dalam penulisan ini ialah, perlu ada pemikiran semula, bagaimana ilmuwan yang berkhidmat di institusi ilmu perlu diberi masa dan ruang untuk bertenang, bergerak santai, berbual, berangan. Ini membolehkan mereka menggarap sesuatu isu dari perspektif yang lebih besar. Falsafah pengurusan insitusi ilmu perlu difikirkan semula, agar jentera ‘tafakur’ negara dapat mencapai maksud tujuan bidang keilmuan itu sendiri. Dan tidak hanya menjadi mesin untuk mencapai angka2 tertentu yang ditentukan oleh pasaran dunia.

Zaky Jaafar

Comments

Popular posts from this blog

Intellectual crisis in Malaysian Academia: In search of an overall philosophy

From Ubercab to Uber: The Needed Paradigm Shift in Malaysian Education

The Scientific mind and modern world crisis. (In search of an overall academic philosophy- part 2)