Ramalan Coronavirus: Sejauh mana penulisan Ilmiah dalam jurnal eksklusif memberi manfaat kepada masyarakat?



Hari ini terbaca tentang suatu kes dimana penulisan ilmiah beberapa penyelidik telah meramalkan koronavirus setahun sebelum ianya berlaku. (klip video di sini) Soalnya kenapa tidak ada orang yang ambil peduli? Tapi itu bukan soal utama yang ingin dibincangkan disini.

Di sini yang dipersoalkan ialah impak penulisan jurnal eksklusif. Kalau ianya tidak memberi impak kepada masyarakat umum, maka  apakah tujuan penulisan ilmiah di dalam journal eksklusif berwasit yang biasanya berbayar untuk diterbitkan dan dibaca. Untuk apa pengetahuan yang ditulis? Untuk bacaan siapa? Mungkin penulis tersebut telah bertungkus lumus menyiarkan dapatannya kepada orang awam dan pihak berkuasa tetapi dihalang atau menghadapi kesukaran tertentu. Yang hairannya kertas tersebut diterbitkan didalam jurnal berwasit open access,(tidak berbayar, secara percuma), namun masih tidak dapat mendapat perhatian ramai. Namun sebagai ahli akademik, saya percaya secara umumnya, berdasarkan tren terkini, kebanyakan penulisan ilmiah akan berakhir di dalam jurnal berwasit sebegini yang bukan sahaja tidak mampu dibaca oleh  orang awam, bahkan ilmuan bidang lain pun tidak akan mampu menghadam perbincangan teknikal di dalam jurnal sebegini.

Harus diakui, ada bidang2 tertentu yang wadah penyebarannya ialah jurnal saintifik yang eksklusif, seperti teknologi nano, bioteknologi, perubatan, sains bahan, matematik dsb. Tetapi tren di universiti awam sekarang ini memaksa bidang2 yang sepatutnya melibatkan diskusi awam, seperti sains sosial, bahasa, ekonomi, falsafah, senibina, seni, dsb, turut di halakan hanya ke jurnal berwasit yang eksklusif. Hanya penerbitan dalam jurnal berwasit yang ekslusif diambil kira untuk kenaikan pangkat dikebanyakan universiti awam. Ini boleh disifatkan sebagai fasisma ilmiah, dimana hanya satu mode epistemologi yang diagungkan iaitu kaedah saintifik, dilonjak sebagai asas penerokaan dan perkongsian ilmu. (Timbul persoalan adakah jurnal berwasit hanya mengutamaan pemikiran kaedah saintifik? Ini satu krisis yang perbahasannya agak panjang. Tidak sesuai dibahaskan di artikel ini)

Kertas ilmiah ditulis bukannya secara percuma. Biasanya penyelidikan dua atau tiga tahun diperlukan untuk melaksanakan penyelidikan terlebih dahulu. Untuk ini puluhan bahkan ratusan ribu ringgit diperlukan untuk pelbagai keperluan penyelidikan. Setelah dapatan dan pengetahuan baharu diperolehi, pihak universiti mewajibkan ia diterbitkan di dalam jurnal berwasit yang rata2nya perlu dibayar yurannya. Seterusnya selepas ia diterbitkan, kebanyakannya hanya boleh diperolehi apabila organisasi atau individu membayar syarikat penerbitan tersebut dengan harga langganan yang mahal pula. Bukankah pendanaan penyelidikan tersebut dibiayai oleh dana awam? Mengapa pula ilmunya disimpan dan dikomodifikasikan oleh syarikat penerbitan yang rata2nya berpusat di luar negara?

Sekarang di Universiti awam di Malaysia penyelidik sedang bertungkus lumus menyiapkan cadangan permohonan geran penyelidikan awam yang jumlah nya mencecah puluhan juta. Ini adalah duit rakyat. Penyelidikan yang dilakukan mestilah memberi manfaat secara nyata kepada rakyat dan negara. Penyelidik perlu bertanya " Adakah penyelidikan yang akan saya buat dengan duit ini memang diperlukan rakyat? Adakah dapatannya kelak memang akan diimplementasi untuk mencuba memperbaiki kehidupan dan kesejahteraan masyarakat? Atau semata2 kerana keperluan KPI peribadi saya yang akhirnya menjadi kertas ilmiah yang hanya akan dibaca oleh ahli ilmiah di bidang yang sama yang memerlukan sitasi untuk menulis kertas illmiah mereka pula? Atau adakah ia semata2 dikejar oleh pentadbir universiti untuk menaikkan ranking universiti masing2?


Berbalik kepada persoalan wajarkah penyelidik menggunakan dana awam untuk sesuatu penyelidikan. Sanggupkah penyelidik selepas menerbitkan di dalam jurnal ekslusif tersebut menterjemahkan pula dapatan itu dalam bentuk yang mudah dihadam kepada masyarakat? Sanggupkah mereka berseminar, berceramah, berbahas di pentas awam untuk menyampaikan pengetahuan itu? Pengalaman di Universiti awam jawapannya tidak ramai yang sanggup. Ini kerana keperluan mnerbitkan jurnal berwasit eksklusif adalah setiap tahun, ada yang perlu dua atau tiga. Akibatnya, di atas hambatan KPI ini, penyeidik akan berterusan menyelidik dan menulis hanya untuk jurnal tersebut. Bahkan, menurut penilaian KPI terkini yang berfokus kepada ranking: penulisan buku, majalah awam, rencana awam, kolokium, ceramah diskusi awam, dsb tidak diberi markah yang setara dengan penulisan di dalam jurnal berwasit, sedangkan wadah2 inilah yang membantu ilmu univerrsiti disebar dan dihadamkan oleh masyarakat dan industri.

Hal ini perlu pertimbangan yang ikhlas menjawab persoalan yang dikemukakan dalm artikel ini. Ini suatu dilemma yang perlu diperhalusi oleh kesemua penyelidik di Malaysia, yang akan menggunakan dana awam masakini. Bukan itu sahaja, pihak kementerian perlu memikirkan semula kesan dari penekanan metrik di dalam wadah penyebaran penulisan yang seragam dan tidak melihat kepelbagaian keperluan disiplin yang berbeza. Perlu ada keseimbangan didalam memilih wadah penyebaran ilmu. Jurnal berwasit penting, tidak dinafikan. Tetapi harus diseimbangkan dengan wadah yang lain yang disebutkan diatas agar ianya tidak bersifat eksklusif dan memberi manfaat yang lebih luas dan bermakna.

Wargafikir.
13 Feb 2020

Comments

Popular posts from this blog

Intellectual crisis in Malaysian Academia: In search of an overall philosophy

From Ubercab to Uber: The Needed Paradigm Shift in Malaysian Education

The Scientific mind and modern world crisis. (In search of an overall academic philosophy- part 2)