PENGAGUNGAN SHELDON DAN PEMINGGIRAN MISSY COOPER - GEJALA PENDIDIKAN MASAKINI
Selepas Sheldon, Missy, adiknya pula diuji dengan gambar yang sama. Missy memberi banyak gambaran tentang apa yang berlaku, hanya dari imaginasinya sendiri. Dia cuba menelah apa kisah disebalik lukisan tersebut, tentang kegembiraan chimpanzi chimpanzi itu, tentang kemungkinan dua daripada mereka sedang bergosip. Berbagai telahan yang hanya berdasarkan imaginasi dilontarkan oleh Missy. Soal tidak lojik atau lojik ketika itu tidak penting. Bagi Missy, lukisan itu dilukis mesti mempunyai mesej yang hendak disampaikan. Missy lebih bersemangat dalam mengulas gambar tersebut. Namun dalam kisah ini Missy tidaklah se'pandai' Sheldon. (petikan dialognya boleh dibaca di SINI)
Di antara Sheldon dan Missy, hakikat tabiat manusia dan rentak dunia adalah lebih kepada cara berfikir Missy. Missy menggambarkan tabiat sebenar manusia dalam menjalani kehidupan. Manusia tidak pernah lari dari mempunyai angan-angan, perasaan, keinginan dan semangat. Tindakannya diluar jangka, rawak dan sering memeranjatkan. Setiap perbuatannya,bukan semata-mata didorong oleh fakta dan maklumat, bahkan angan-angan, impian, rasa risau, belas, gusar, benci dan berbagai lagi. Manusia hakikatnya menggunakan hati dan perasaan dalam membuat keputusan, walaupun rasional akal tidak dipinggirkan.
Di dalam kisah Young Sheldon, sheldon digambarkan sebagai seorang anak yang genius, yang mempunyai masa depan yang cerah, yang bakal meraih kejayaan dalam hidup. Namun dalam episod ini menunjukkan kelemahan si genius. Dia mungkin sangat mengerti fakta dan maklumat tentang manusia dan dunia, namun hampir tiada kemahiran memahami sepak terajang, permainan dunia. Akalnya mempunyai kebolehan kognitif dan rasional yang tinggi, malangnya hampir tiada ciri ciri empati, penerokaan, telahan, andaian, tidak terbuka kepada adanya dunia metafisik yang rencam, rawak dan berbagai.
Dari analogi episod ini, ada suatu perbandingan yang ingin saya utarakan di sini, iaitu, sistem pendidikan dan ilmu moden, semakin mengagungkan Sheldon dan semakin meminggirkan Missy. Anak2 dihantar ke Sekolah untuk menjadi manusia yang 'pandai' seperti Sheldon, dan tiada kesungguhan mendidik Missy. Hasilnya kita lihat hari ini, walaupun keputusan peperiksaan sekolah meningkat dengan bilangan gred A semakin tinggi peratusannya, namun kita tidak dapat lari dari merasakan suatu kekurangan. Kekurangan kreativiti, semangat, daya tahan, daya juang, rasa belas, dikalangan generasi mendatang.
Bagi mereka yang akhirnya berjaya dalam pelajaran, meraih tempat dan pekerjaan yang bagus, kita tidak dapat nafikan faedah material dari segi kekayaan harta benda yang berjaya diperolehi. Namun golongan in gagal memberi manfaat kepada masyarakat dengan nilai yang setimpal dengan ganjaran kemewahan yang mereka perolehi. Bahkan ada sesetengah dari golongan inilah sebenarnya yang memudaratkan masyarakat. Bukan sekali dua kita mendengar bagaimana golongan cerdik pandai menipu, rasuah, memutar belitkan fakta untuk kepentingan sendiri.
Tidakkah kita hairan, dengan peningkatan taraf hidup dan pertumbuhan ekonomi, isu-isu asas yang membelengu masyarakat dan alam sekitar masih tidak terungkai. Rasuah, kezaliman, penipuan, penindasan, pemerkosaan sumber alam, pencemaran, turut sama naik. Jurang kaya miskin semakin melebar. Pendek kata semakin maju, semakin berat krisis ketamadunan.
Pemikiran Sheldon adalah pemikiran aras tinggi, namun amat terhad. Ini sering digambarkan dengan ungkapan 'tunnel vision' dalam menggambarkan simtom ini. Ia juga digambarkan sebagai cara berifkir otak kiri yang berfokus kepada angka, dan fakta. Ia juga kaedah berfikir yang bersifat analitikal dan linear. Ia menggambarkan kemampuan seorang yang pandai dalam memfokus kepada suatu permasalahan kecil namun tidak peka kepada isu-isu besar disekitarnya.
Antara gejala pemikiran seperti ini ialah penyelesaian suatu masalah kecil seringkali tidak dapat menyelesaikan masalah besar. Sebagai contoh, seseorang penyelidik di universiti mungkin sangat pakar menghasilkan bahan untuk membersihkan kotoran sungai, namun dia lansung tidak mengerti tentang hakikat bahawa sungai tersebut tak mungkin akan dapat dibersihkan selagi sumber kekotoran sentiasa dilepaskan kedalam sungai. Penyebab pelepasan ke sungai ini adalah isu tabiat manusia, yang lansung tidak boleh ditelah dan difahami olehnya. Oleh itu segala hasil kajiannya tidak dapat memberi manfaat kerana tabiat manusia, sumber penghasilan kekotoran itu tidak termasuk dalam kajiannya yang sangat terfokus kepada kekotoran yang telah sedia ada di dalam sungai.
Atau, lebih malang lagi, bagaimana suatu formula fizik yang diraikan sebagai gambaran hakikat fenomena tenaga alam semesta, tanpa sengaja, menghasilkan senjata yang paling berbahaya dalam sejarah tamadun manusia.
Banyak lagi kisah malapetaka yang disebabkan pemikiran tunnel vision ala Sheldon ini. namun hakikatnya, itulah yang dijulang oleh sistem pendidikan negara. Ini boleh dikesan dengan adanya penekanan kepada cara berfikir yang berpaksikan kepada lojik, rasional dan linear, seperti KBAT, OBE, STEM yang memberi tumpuan kepada kemahiran berfikir otak kiri (walaupun sering dibahaskan bahawa bukanlah sisi otak kiri atau kanan yang menjadi isu, tetapi kaedah berfikir yang rasional,lojik dan linear itulah yang menjadi tumpuan pendidikan masakini)
Kesimpulannya, pendidikan masakini memberi tumpuan untuk membangunkan generasi yang berfikir hanya mengikut logik dan akal, tanpa memberi perhatian yang wajar kepada isu perkembangan jiwa, mental, rohani yang sememangnya adalah sebahagian dari lumrah kejadian manusia. Kalau adapun kesedaran untuk mengatasi masalah ini, kaedah yang digunakan masih lagi dalam kerangka yang hanya boleh diterima oleh cara berfikir 'otak kiri'. Contohnya apabila hendak memperkenalkan sifat amanah kepada siswazah, penyelesaiannya ialah dengan memperkenalkan kursus integrasi yang lebih bersifat pengumpulan maklumat dan kebolehan menjawab dalam peperiksaan, yang mana akan berjaya dijawab oleh Sheldon dengan cemerlang, tanpa sebenarnya memberi apa2 makna kepadanya.
Dari perbincangan ini, timbul pertanyaan, mengapa kita memilih Sheldon dan bukan Missy? Ia memerlukan perbincangan yang akan cuba saya tulis pada penulisan akan datang.
Zaky Jaafar
Disember 2024
Comments
Post a Comment