MERUNGKAI KEMELUT PARADIGMA PENDIDIKAN NEGARA

(Kerangka Perbahasan dicadangkan untuk suatu wacana kebangsaan tentang pendidikan negara)

Pada wacana Meja Bulat PEMIKIR yang ke 2, salah satu rumusan yang digagaskan ialah terdapat jurang di antara falsafah ketamadunan dan amalan teknokratik dalam pembinaan tamadun tersebut. Wacana kali ini akan cuba meneroka gagasan ini dengan membawa ke meja bulat perbahasan di antara falsafah dan teknokrasi, dan tema tumpuan kali ini ialah bidang pendidikan. Kali ini dua golongan di sebelah bertentangan jurang, iaitu golongan failasuf dan golongan teknokrat, akan berbahas di dalam suatu forum yang sama.

Falsafah Pendidikan Negara menggariskan suatu matlamat yang jelas, holistik dan mapan dalam membangunkan Insan yang menjadi tunggak generasi akan datang. Namun apabila dilihat situasi pendidikan negara masakini, maka jelas terlihat pohon yang tumbuh adalah amat jauh dari hasrat falsafah yang indah ini.

Meneliti perkembangan perbahasan pendidikan negara, terdapat kecelaruan pegangan, amalan dan pendapat dikalangan pengamal teknokratik dalam pendidikan negara. Namun perbahasan terlihat lebih berkisar kepada skop operasi, amalan, polisi, strategi dan mekanisma. Kekusutan ini berpunca dari kemelut perkara yang tidak terlihat, jarang dibicarakan, dan dianggap tidak relevan. Kekusutan ini berpunca dari falsafah yang rencam dan rancu, yang tidak terlihat pada aras perbahasan operasi dan mekanisma, yang sebenarnya kadangkala bersanggahan antara satu sama lain tanpa disedari.

Antara krisis yang sangat jarang diperbahaskan dikalangan teknokrat ialah hampir tiada proses tafakur, refleksi tentang worldview dibelakang setiap amalan dan mekanisma. Perdebatan antara kaedah dan mekanisma yang berbeza tanpa mempersoalkan paradigma dibelakangnya adalah seumpama berbahas tentang kelebihan menaiki kereta berbanding keretapi tanpa lansung membincangkan kemana destinasi yang hendak dituju. Manakala perbahasan tentang destinasi tanpa memikirkan kaedah kesana menyebabkan destinasi akan sentiasa jauh bahkan mungkin kita tersekat di tempat asal tanpa dapat memulakan perjalanan.

Apabila memilih suatu pendekatan pendidikan, apakah falsafah dasarnya selari dengan matlamat falsafah pendidikan negara? Sebagai contoh, pembaraian Bloom sering dianggap sebagai kaedah terbaik, rasional dan cekap dalam mendasari pendidikan negara, tidak pernah dipersoalkan tentang asal usul dan kesan akhirnya. Falsafah Pendidikan Negara meletakkan kewujudan manusia itu adalah sebatian antara minda, jasad dan rohani, sedangkan Taksonomi Bloom adalah bersifat reduksionis yang menganggap manusia adalah komponen terpisah di antara minda dan jasad, antara intelek, psikomotor dan semangat. Tidakkah kerancuan ini membingungkan?

Bagaimana dengan KBAT? apakah falsafah disebaliknya? Adakah dalam menjulangnya sebagai pendekatan pendidikan negara, kita terlepas pandang kesan sampingan dari paradigma cartesian yang menjadi tonggaknya? STEM yang diagung-agungkan sebagai kaedah terbaik mendidik murid, bukankah ia secara hakikinya bersifat empirisis? Tidakkah kita sedar bahawa mantra golongan empiris, iaitu pengalaman sahajalah sumber kebenaran yang mutlak, merupakan kekufuran terhadap peranan wahyu dan rasul?

Seandainya tiada keserasian tentang falsafah dasar asal usul pendekatan mekanisma pendidikan yang dipilih, maka tidak hairanlah hasilnya berbeza dari matlamat falsafah yang diidamkan. Maka sangatlah aneh apabila para ilmuwan sendiri seolah bingung dan terperanjat apabila hasil tidak menepati matlamat.

Boleh dirumuskan bahawa, walaupun falsafah pendidikan negara boleh dianggap cantik dan kemas, namun terdapat kerancuan falsafah dan paradigma di dalam mekanisma perlaksanan. Terdapat glitch di dalam koding menterjemahkan falsafah kepada amalan. Terdapat unsur2 asing dan rancu di dalam mekanisma perlaksanaan.

Wacana meja bulat kali ini cuba merungkai, membedah, paradigma, falsafah yang menjadi nadi mekanisma perlaksanaan falsafah pendidikan negara, dan diharapkan dapat mendedahkan, menghurai dan menganalisa penyakit, simptom, dan krisis yang sedang mencengkam sistem pendidikan negara.

Fokus wacana kali ini boleh disimpulkan seperti berikut:

  • Apakah mekanisma perlaksanaan yang diangkat oleh ekosistem pendidikan negara?
  • Apakah falsafah dan paradigma disebalik mekanisma-mekanisma ini?
  • Adakah terdapat percanggahan paradigma di antara mekanisma dan pendekatan pendidikan negara dengan Falsafah Pendidikan Negara.
  • Apakah kaedah untuk mengatasi masalah yang timbul?
Zaky Jaafar Dis 2024

Comments

Popular posts from this blog

PERANAN UNIVERSITI: IBARAT LAMPU YANG MALAP

Irrationality of Modern Rationality- The Danger of Thinking Small.

Catatan Log ekspedisi Sungai Bebar 16 dan 17hb September 2016