PERANAN UNIVERSITI: IBARAT LAMPU YANG MALAP
sumber :gcedestin.com |
Universiti adalah institusi yang penting bagi sebuah
negara. Ia ibarat kompas sebuah kapal, yang akan membantu mengemudi negara ke
arah kesejahteraan dan kemakmuran. Ia juga institusi yang mahal. Banyak wang
yang dicurahkan untuk membiayai universiti, namun begitu, nilainya hakikinya
lebih tinggi dari jumlah wang yang dilaburkan. Ia ibarat sebuah lampu, menerangi
masyarakat dan negara dalam memilih jalan yang betul dalam mencari kemajuan dan
kemakmuran. Namun dalam senario hari ini di tahun 2024, ia ibarat sebuah lampu
yang bersinar namun sinarnya tidak mampu memberi memberi cahaya kepada
masyarakat, melainkan sedikit. Ianya ibarat lampu yang malap.
Seandainya dinilai dari pandangan kasar, hal ini tidak sepatutnya
terjadi, kerana saban tahun, kita dimaklumkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi
bahawa sekian sekian universiti, rankingnya semakin meningkat menurut
beberapa sistem penarafan antarabangsa. Beberapa univesiti awam negara berada
dalam kelompok 200 keatas diantara puluhan ribu universiti didunia. Namun
benarkah masyarakat dapat merasai kecemerlangan kesarjanaan yang diukur
sebegini?
Saya berpendapat tidak. Yang jelas, terdapat kelompongan di
antara metrik ukuran kecemerlangan universiti dengan keadaan sebenar yang
dirasakan di kalangan masyarakat. Pencapaian ranking universiti saban
tahun seperti yang diwarwarkan sepatutnya
dituruti oleh peningkatan dalam aspek lain pembangunan negara. Namun apa
yang dilihat ialah sebaliknya.
Mari kita lihat apakah faktor yang membolehkan saya
berkata demikian. Yang paling jelas ialah bidang pendidikan, ekonomi dan
pertanian.
Keadaan pendidikan negara walaupun jika dikira bilangan
gred A yang dicapai semakin meningkat, namun dari segi penarafan antarabangsa
dan beberapa statistik lain menunjukkan tren yang membimbangkan. Itu kalau
dilihat dari metrik rasmi. Jika dilihat dari statistik pula, isu kemerostan
bidang STEM[i],
isu pelajar tidak hadir SPM[ii],
isu kurikulum yang rumit dan membebankan[iii],
seolahnya pendidikan negara adalah sebuah roller coaster yang sedang menjunam
turun.
Di bidang pertanian pula, boleh di kaji dari ukuran
keterjaminan makanan. Kita masih lagi mengalami defisit makanan yang besar,
sehingga RM30 billion setahun[iv]. Sedangkan
makanan yang kita usahakan sendiri pun, baja dan buruhnya juga di impot. Lalu
boleh dikatakan isu keterjaminan makanan masih lagi ditahap sangat rendah.
Di bidang ekonomi, cuba kita lihat penjanaan pendapatan
dari ekonomi inovasi, iaitu produk atau perkhidmatan baharu yang terhasil dari
bidang penyelidikan, Dimanakah kita? Kalau dilihat dari Indeks Inovasi Global (Global
Innovation Index) atau GII, Malaysia
berada pada ranking ke 36 dari 132 negara[v].
Bunyinya seolah agak baik juga. Namun GII mengukur ekosistem yang sepatutnya
menaikkan ekonomi inovasi negara, bukan pendapatan sebenar ekonomi inovasi.
Ertinya dari segi ekosistem untuk inovasi berkembang, Malaysia agak hebat.
Dengan pendanaan dan pelaburan untuk R&D, dengan sistem perlindungan harta intelek yang cekap,
dan bantuan untuk syarikat pemula inovasi yang banyak. Namun ukuran sebenar
inovasi ialah sejauh mana ekonomi sesuatu negara dijana oleh produk atau servis
baharu yang dicipta sendiri oleh rakyatnya. Cuba lihat produk atau teknologi
yang ada dipasaran sekarang, dimanakah yang asalnya dari Malaysia? Lihat sahaja
keadaan industri pertanian, pembinaan dan pembuatan yang rata2nya
bergantung kepada buruh asing menunjukkan tiada sumbangan inovasi dalam sektor
ekonomi negara. Bagaimana dengan penghasilan teknologi lain? Hatta untuk mencuci Sungai
Kelang pun kita mengimport teknologi remaja belanda yang sangat ringkas dan
mudah. Sedangkan Sejak penarafan Universiti penyelidikan di beri kepada beberapa
universiti awam di Malaysia pada 2006 dan Sistem penarafan Penyelidikan
Unviersiti penyeldikan diperkenalkan pada 2009, kerajaan membelanjakan
berbilion ringgit untuk melonjakkan penghasilan teknologi dan inovasi negara.
Mengapa kita tidak lihat universiti tempatan yang mencipta teknologi
pembersihan sungai? Berapa bijikah jentera pertanian buatan negara yang berada
di sawah ladang negara? Tidak ada lansung.
Dari segi sumbangan ilmu untuk kesejahteraan Masyarakat?
Di mana kita? Selain dari peningkatan keciciran pendidikan seperti yang
dinyatakan sebelum ini, isu tekanan hidup, isu pencemaran, isu gejala sosial
dari buruh yang semakin membanjiri negara, isu rumah yang mahal, isu korupsi
dan rasuah, dan semakin hari semakin menyesakkan ialah kenaikan kos sara hidup
yang tidak nampak akan berhenti dari terus naik. Apakah peranan pakar2 negara
yang ada diuniversiti? Tiadakah saranan yang bernas dan dapat memperlahankan
kemerosotan kualiti hidup rakyat? Ibarat lampu yang malap, tidak jelas apa yang
sedang berlaku dan akan terus berlaku. Tidak dinafikan terdapat tokoh2
kesarjanaan yang berani bersuara dan
menyarankan penyelesaian, namun isu yang timbul masih banyak dan masih belum
nampak jalannya. Sebahagian dari ilmuwan ini pula mengulangi skrip pencapaian
bagi mewarnakan universiti seoalah2 segala2nya sedang berjalan lancar. Sebahagian
besar lagi ilmuwan2 ini masih terkurung di sebalik gerbang menara gading,
khusyuk mentelaah isu yang entah apa, dan membelanjakan wang negara untuk
meningkatkan ranking dan status universiti di mata dunia.
Suatu lagi tanggungjawab hakiki universiti ialah
menghasilkan rakyat yang berkemahiran dalam melibatkan diri dalam membangunkan
ekonomi negara. Selain dari jumlah graduan yang dihasilkan setiap tahun yang agak
baik, apakah kualiti mereka? Dari tinjauan terbaharu, terdapat kemerosotan dari
segi kepuasan majikan. Antara perkara yang menjadi rungutan ialah rendahnya kemahiran
bekerja dan kemahiran insaniah[vi]
Selain dari aspek2 pembangunan negara yang dinyatakan di
atas, ada suatu aspek yang lebih kritikal tetapi sukar dilihat ialah
kecemerlangan pemikiran dalam mendepani cabaran dunia baharu. Bilakah kali
terakhir Malaysia melangkah maju hasil cetusan idea sarjananya. Siapakah yang
menggantikan Profesor Ungku Aziz? Prof Syed Hussein dan Syed Naquib Al Attas?
Dimanakan Za’aba masakini? Siapa yang bakal Mengganti Khoo Kay Kim? Mereka ini
dahulunya pemikir hebat yang mampu menganalisis keunikan dan keperluan
masyarakat Malaysia khususnya. Bahkan mampu menyumbang gagasan yang benar2 memberi
kesan kepada pembangunan fizikal, mental dan kerohanian masyarakat.
Dimanakah silapnya? Mengapa ada jurang diantara status
penarafan yang digembargemburkan, nilai wang yang dilaburkan dengan pencapaian
sebenar negara?
Kita harus menerima kenyataan bahawa terdapat jurang
antara persepsi yang dibina dengan keadaan sebenar negara. Sekiranya jurang ini
tidak dihiraukan, maka akan terjadilah situasi dimana wang dan sumber kesarjanaan
negara dibelanjakankan untuk ranking dan status, sedangkan situasi dalam
masyarakat semain merosot. Di saat yang sama negara kehilangan nilai sebenar
intsitusi kesarjanaan yang kesannya akan terasa sehingga seratus tahun yang
akan datang.
Kita perlukan sarjana kita untuk memperelok sistem
pendidikan, untuk melonjakkan ekonomi inovasi, untuk membebaskan negara dari
terjajah aspek makanannya. Kita perlu sarjana yang mendidik jiwa kreatif dan
berani untuk mencipta kemajuan yang bebas dan merdeka. Untuk ini kita perlukan
ilmu dan kesarjanaan yang ada di unviersiti. Namun sayangnya sarjana hebat kita
ramainya sedang duduk enak dalam kepompong yang diwarnai dengan pengeliruan
tentang ranking dan darjat ilmunya.
Kita harus jujur dalam menilai pencapaian sebenar kita.
Jangan dengan hanya berpandukan pencapaian dalam sistem penarafan kuantitatif
yang sentiasa boleh dimanipulasi oleh pihak berkepentingan, kita merasa selesa
dan berpeluk tubuh, tanpa memahami kenyataan. Tidak salah untuk fokus kepada
perkara negatif dan kelemahan yang ada. Ini tugas kesarjanaan yang sebenarnya.
Kita perlukan doktor untuk mengenalpasti penyakit. Itu tugas doktor. Kita tidak
akan berjumpa doktor untuk menyenaraikan kecergasan dan kesihatan kita untuk
dibanggakan dikhalayak. Begitu juga kesarjanaan dan keilmuwan, kita perlukan mereka
untuk betul2 ikhlas mengkaji kelemahan, masalah dan berusaha mencari
penyelasaian untuk masyarakat.
Semoga universiti kita kembali bersinar dengan
terangnya...
[i] Kurang minat STEM, universiti mungkin alami kekurangan pelajar
aliran sains selepas ini. BH Online, April 23: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/04/1238227/kurang-minat-stem-universiti-mungkin-alami-kekurangan-pelajar-aliran
[ii] Dewan Rakyat: KPM sahkan hampir 30,000 pelajar tak ambil SPM 2022: https://www.kosmo.com.my/2023/06/15/dewan-rakyat-kpm-sahkan-hampir-30000-pelajar-tak-ambil-spm-2022/#google_vignette
[iii] Subjek rumit, soalan sukar: https://www.sinarharian.com.my/article/625302/berita/laporan-khas/subjek-rumit-soalan-sukar
[iv] Malaysia import RM75.6 bilion makanan tahun lalu: Berita harian,
29, Disember 2023: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2023/12/1193892/malaysia-import-rm756-bilion-makanan-tahun-lalu
[v] Global
Innovation Index 2023: https://www.wipo.int/edocs/pubdocs/en/wipo-pub-2000-2023-section1-en-gii-2023-at-a-glance-global-innovation-index-2023.pdf
[vi] Tiada guna
ranking universiti jika graduan kurang kemahiran insaniah, kata majikan: FMT, 20 jun 2024. https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/06/20/tiada-guna-ranking-universiti-jika-graduan-kurang-kemahiran-insaniah-kata-majikan/
Comments
Post a Comment