Keperluan Pendekatan Sistemik Dalam Menjayakan Agenda Kampus Lestari
Dalam usaha menghijaukan atau melestarikan pembangunan kampus, hampir semua universiti mempunyai inisiatif dan strategi pembangunan hijau masing2. Banyak program yang diusahakan dan inisiatif di ambil dalam mencapai objektif ini. Namun dari segi keberkesanan dan kemapanan inisiatif ini, usaha2 ini belum mencapai tahap yang diingini.
Artikel ini menekankan tentang keperluan sistemik yang boleh membantu ataupun sekiranya tak diendahkan, akan membantutkan inisiatif kampus hijau atau lestari. Antara perkara yang sering menjadi masalah adalah antaranya ketidakseimbangan penekanan aspek kelestarian kampus dan inisiatif kelestarian yang tidak berkesinambungan mahupun berkesan. Seterusnya artikel ini akan menekankan kepentingan pendekatan sistemik dalam mengatasi ke dua dua masalah ini.
1. Usaha yang tidak seimbang di antara kriteria kelestarian.
Usaha melestarikan kampus merangkumi bidang yang sangat luas,
dari kesedaran pengguna, guna tenaga, pengurusan sisa, pengurusan lanskap,
pemeliharan ekologi, kesejahteraan pengguna, pengangkutan, keselamatan
sehinggalah kepada aspek pengajaran, bidang penyelidikan dan kesarjanaan. Seandainya kita
tidak memahami skop yang menyeluruh ini , kemungkinan akan ada universiti yang
terlalu menekankan suatu aspek namun mengenepikan aspek yang lain. Tentulah
difahami bahawa usaha2 ini tidak boleh dijalankan semuanya serentak, tetapi
dari segi keseimbangan perlu ada keprihatinan dan kepintaran agar tidak terlihat
sebagai kepincangan. Sebagai contoh adalah sangat tidak munasabah untuk
melaksanakan ubahsuai sebuah rumah agar rumah kelihatan lebih cantik dengan menghabiskan semua belanjawan untuk mencantikkan tandas dan bilik air sahaja ataupun dengan hanya menukar pagar mahal.
Sebagai contoh lebih spesifik, mungkin ada universiti yang hanya
fokus pada pengurangan kegunaan elektrik dengan menggunakan panel suria, (sedangkan menjana tenaga dari sumber pulih baharu (renewable energy) hanya sebahagian kecil dari maksud kelestarian),
tetapi pada masa yang sama, penggunaan kenderaan persendirian sangat tinggi. Kemungkinan ada
pula universiti yang fokus kepada penyelidikan bidang hijau tetapi masih tiada polisi pengharaman plastik sekali guna, yang sangat jelas di mata
masyarakat sebagai simbol kelestariaan sesuatu organisasi.
Ketidakseimbangan ini perlu diatasi untuk sebuah organisasi
yang menjadi nadi ilmiah sebuah negara. Selain daripada penggunaan sumber yang
tidak cekap, ianya menggambarkan ketidakupayaan sebuah universiti dalam memperjuangkan
isu2 besar negara secara harmoni.
Untuk mencapai keseimbangan ini, pendekatan harus bermula
dari ‘the big picture’. Suatu pandangan ”perspektif burung” perlu digarap
sebelum sesuatu organisasi terjun dan melaksanakan program2 kelestarian. Dengan
adanya perspektif ini, setiap inisiatif boleh dinilai kepentingan dan kesesuaiannya.
2.
Inisiatif yang tidak sesuai, tidak berkesan atau
tidak berkesinambungan
Masalah yang kedua, terdapat banyak program dan inisiatif hijau yang dilaksanakan tidak berkesan atau berjaya mencapai objektif yang dimaksudkan. Ada pula program atau projek yang bersifat gajah putih, atau hangat2 tahi ayam. Contohnya penyediaan tempat pengumpulan kitar semula. Andainya sesebuah kampus yang besar hanya ada dua atau tiga tempat sampah kitar semula, kita boleh bayangkan nilai keberkesanannya. Jika dikira berapa peratus sampah kampus dikitar boleh menjadi persoalan, ataupun tiada maklumat jelas. Mungkin pula ada kampus yang berusaha menaiktaraf jaringan laluan basikal, tetapi kadar penggunaan basikal tidak diambilkira. Ada pula yang mungkin melaksanakan kempen jimat tenaga, tetapi tiada pengukuran penjimatan yang dicapai, dan tiada maklumat samada tenaga telah dijimatkan ataupun ‘business as usual’.
Terdapat banyak sebab mengapa sesuatu program atau inisiatif
hijau itu berkesan atau tidak. Namun ingin diutarakan disini, ketiadaan
sokongan dari berbagai pihak di dalam sistem organisasi (Sokongan sistemik) adalah kegagalan pertama untuk sesuatu
inisiatif hijau.
Bayangkan contoh ini. Seandainya semua bangunan di dalam
kampus diminta memasang submeter penggunaan elektrik untuk mengukur kadar
penggunaan elektrik, tetapi tiada pihak yang membuat analisa penggunaan, ia
sia- sia. Sekiranya ada pihak yang membuat analisa tetapi tiada pihak yang
hendak memantau hasil analisa dan menggariskan tindakan pembetulan, juga sia
sia. Sekiranya ada pihak yang telah mencadangkan tindakan susulan tetapi tiada
kuasa untuk memberi arahan juga sia sia. Sekiranya arahan pembetulan telah
dikuatkuasakan tetapi tiada peruntukan kewangan yang dipersetujui oleh pihak
pengurusan juga sia sia. Sekiranya telah ada semua ini, tetapi penghuni kampus
itu sendiri langsung tidak peka terhadap pembaziran guna elektrik, inisiatif
ini tetap gagal, kerana gagal menerapkan kelestarian di dalam nilai insan warga
kampus, yang merupakan matlamat terpenting sebuah universiti. Jadi dalam contoh
ini sokongan sistemik bermaksud kesedaran, kerjasama dan tindakan dari berbagai
pihak dari setiap lapisan organisasi dan di dalam semua aspek operasi. Jelas
sekali pendekatan dan sokongan sistemik amatlah penting.
Pendekatan Sistemik
Seandainya kita faham tentang krisis sistemik ini, maka seharusnyalah
pendekatan sistemik perlu diambil. Sokongan sistemik ini, boleh di nyatakan sebagai
kesediaan seluruh organisasi untuk menerima tanggungjawab mencapai satu
matlamat bersama iaitu, kelestarian kampus. Ianya bukan hanya perlu difikir
oleh entiti2 tertentu yang hanya fokus pada aspek tertentu dari spektrum
kelestarian. (Namun begitu keperluan mengadakan suatu entiti yang memantau
keseluruhan perlaksanaan kampus lestari ini mungkin berguna, tetapi ia
mestilah bersifat menyeluruh dan bukan hanya fokus pada kriteria tertentu) Ini
bermaksud kewajipan kerjasama dari keseluruhan organisasi yang merangkumi
setiap individu, setiap unit dan setiap hierarki pentadbiran sesebuah
universiti untuk menjayakan walaupun satu projek yang kecil, difahami semua dan
keseluruhan nadi kampus sedia menyokongnya. Sekiranya ini tidak dicapai, maka
banyaklah program yang tidak seimbang akan muncul dan tiada kesinambungan dan
keterusan projek, program mahupun inisiatif.
Cadangan: Pewartaan falsafah, dasar dan wawasan kampus lestari.
Berbalik kepada masalah sokongan sistemik tadi, ketiadaan
dasar dan wawasan yang jelas akan membantutkan usaha melestarikan kampus. Sering
terjadi, dasar dan strategi kelestarian kampus hanya diselitkan sebagai salah
satu perkara di dalam pelan strategi umum
yang bersifat sementara yang sering akan terpinggir apabila ada
formulasi visi dan misi baharu sesebuah unversiti. Jadi penyataan komitmen
melestarikan kampus ini perlu bersifat tersendiri, lebih luas, merangkumi dan
mempunyai nilai simbolik yang tidak akan terjejas oleh perubahan semasa. Ia boleh dilaksanakan didalam bentuk pewartaan.
Ada antara organisasi yang membuat pewartaan komitmen
untuk melaksanakan Sasaran Pembangunan Lestari 17 (SDG 17) sebagai cara melonjakkan
kelestarian. Disini ingin saya lontarkan komentar tentang pendekatan
menggunapakai 17 sasaran di dalam
Sustainable Development goals (SDG 17). Pendekatan berderai (fragmented approach) yang menjadi asas pembentukan SDG mempunyai kesan secara tidak langsung. Secara umumnya ia adalah sesuatu yang
bagus, namun perlu difahami konteksnya. 17 sasaran kelestarian yang diwartakan
oleh PBB ini adalah bersifat operasi dan boleh digunapakai dalam memilih
aktiviti yang sesuai untuk dilaksanakan, namun ia bukanlah pernyataan dasar
yang boleh menyatukan kesemua inisiatif ini dibawah satu sentimen yang dikongsi
bersama. Membahagi2kan 17 SDG ini kepada pihak2 yang berlainan dan dalam
program2 yang berasingan (contohnya, inisiatif menangangani isu keselamatan makanan
hanya diletakkan kepada suatu jabatan di dalam sebuah fakulti) boleh
menyebabkan individu ataupun organisasi hilang punca tentang gambaran besar
yang perlu ada tentang maksud kelestarian, atau apakah sentimen disebalik
setiap sasaran tersebut.
Kesimpulannya, dalam usaha melestarikan kampus atau mencapai
status kampus hijau, perlu ada dasar, wawasan yang jelas menjadi titik temu dan
dipegang oleh setiap warga dan unit di dalam sesebuah universiti. Perlu ada, diperingkat awal, pernyataan yang
bersifat abstrak dan simbolik yang mampu menjadi asas semua inisiatif.
Antaranya universiti boleh mengambil pendekatan menggunapakai satu deklarasi ataupun pewartaan dari pengurusan tertinggi
bahawa inisiatif hijau adalah suatu usaha menyeluruh yang berterusan. Universiti
boleh melakarkan falsafah ini sendiri, bersesuaian dengan aspirasi unik sesebuah
universiti, atau boleh mendasarkan pembentukan falsafah ini dari beberapa
konsep dan prinsip yang telah sedia ada di peringkat global. Antaranya,
universiti boleh menjadikan “Earth Charter” sebagai dokumen dasar pewartaan
falsafah dan misi hijau kampus. Deklarasi Talloires adalah satu lagi simbol
pengisytiharan yang telah diguna pakai oleh lebih dari 570 universiti dari
seluruh dunia. Ianya bersifat simbolik, dasar, yang andainya diwartakan akan
menjadi batu asas yang menyatukan, menyelaraskan semua unsur didalam organisasi bagi membantu kejayaan dan kesinambungan
inisiatif kampus hijau.
Dengan adanya ‘punca kuasa’ kelestarian ini, setiap entiti
dalam organisasi akan mempunyai titik rujukan yang membolehkan mereka saling
bekerjasama mencapi objektif walaupun antara unit yang berbeza. Isu
ketidakseimbangan ataupun kepincangan fokus juga boleh ditangani. Kesimpulannya,
universiti perlu mengambil langkah untuk membuat komitmen dasar dan prinsip
terlebih dahulu yang mudah difahami oleh setiap lapisan warga kampus, agar
setiap inisiatif dan komitmen terhadap kelestarian boleh diletakkan di tempat
yang sewajarnya dan boleh dirancang dengan lebih optimum, berkesan dan
berterusan.
Untuk artikel seterusnya kita akan melihat satu lagi ramuan
yang sangat penting dalam menjayakan program kelestarian kampus seterusnya,
iaitu kerangka dan perancangan inisiatif kampus lestari yang mantap, tersendiri
dan menyeluruh.
Zaky Jaafar, Julai 2021
Comments
Post a Comment